Ikuti Kami:

Bella Astillah Nafi Jual Kisah Anak Demi Perhatian

Bella Astillah Nafi Jual Kisah Anak Demi Perhatian

Penyanyi dan pelakon Bella Astillah, 30, menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia menggunakan kisah peribadi anak-anaknya untuk meraih perhatian di media sosial.

Menurut Bella, setiap momen bersama anak-anaknya adalah sebahagian daripada kehidupan sehariannya, bukan strategi untuk mencipta kandungan sedih.

“Saya tak tahu bila saya dikatakan jual konten sedih, saya rasa tak ada. Mungkin kalau hal anak-anak, biasalah kadang-kadang kita rindu, jadi ianya bukan fasal cerita sedih. Buat masa ini, saya gembira dengan anak-anak dan keluarga. Alhamdulillah, kehidupan saya semakin baik,” jelasnya.

Bella ditemui media di Colony, Star Boulevard KLCC sempena pelancaran single terbaharunya berjudul CACACA bersama penyanyi Nabila Razali.

Lagu tersebut diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dengan sentuhan kreatif Mage, Ja’a, dan Ezra Kong, manakala muzik video rasminya dilancarkan pada 6 Disember lalu di saluran YouTube Nabila Razali Entertainment.

Bella, yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata, Aydan Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4, menegaskan bahawa anak-anaknya sentiasa menjadi keutamaan dalam hidupnya.

Dia hanya berkongsi momen-momen tertentu yang dirakam secara spontan, bukan dengan niat untuk meraih simpati.

“Saya tak jual konten anak sebab mereka sentiasa ada dengan saya. Ada juga momen belakang tabir yang dirakam orang lain, saya hanya kongsikan semula je di media sosial,” katanya, menjawab tuduhan itu.

Dalam pada itu, Bella turut mengambil pendekatan matang dalam menghadapi komen negatif. Dia melihat setiap kritikan sebagai peluang untuk memperbaiki diri.

“Tapi bagi saya setiap orang ada tanggapan masing-masing, saya tak salahkan sesiapa. Saya jadikan komen negatif itu sebagai pembakar semangat saya dan yang positif buatkan saya lebih bersemangat untuk buat yang lebih baik pada masa akan datang,” tambahnya.

Bella kini terus fokus pada kerjaya seninya sambil memastikan hubungan dengan keluarga tetap terjaga, membuktikan bahawa dia mampu mengimbangi peranan sebagai ibu dan artis profesional.

Komen
Loading...