Ikuti Kami:

Bella Astillah Meriahkan Konsert Glenn Fredly, Tiket Couple Istimewa RM266

Bella Astillah Meriahkan Konsert Glenn Fredly, Tiket Couple Istimewa RM266

Penyanyi dan pelakon Bella Astillah mencuri perhatian apabila diumumkan sebagai salah seorang artis jemputan dalam Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia yang bakal berlangsung pada 18 Julai ini di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert yang membawa teknologi holografik untuk menghidupkan kembali legasi penyanyi tersohor Indonesia, Glenn Fredly, turut menawarkan promosi menarik berupa tiket couple berharga RM266 sahaja. Ini merupakan peluang istimewa buat pasangan yang mahu merasai momen penuh emosi dan kenangan.

Bella menyifatkan penglibatannya dalam konsert ini sebagai satu penghormatan besar memandangkan Glenn Fredly merupakan salah seorang idolanya sejak kecil.

“Mendiang Glenn Fredly merupakan antara penyanyi kegemaran saya. Saya membesar dengan lagu-lagunya seperti Kasih Putih, Januari dan Akhir Cerita Cinta yang masih relevan dan dekat dengan jiwa ramai hingga ke hari ini,” kata Bella.

Konsert berdurasi dua jam setengah itu bakal menyaksikan Glenn ‘kembali’ ke pentas dalam bentuk holografik dengan iringan artis-artis hebat termasuk The Bakuucakar, Noh Salleh, Mutia Ayu, Rian Ekky Pradipta, Nadira Adnan, Gretchene Quirina, Matthew Sayersz dan Allan Anderson.

Dibawakan oleh Premier Live Productions bersama Matahati Sdn Bhd, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, tetapi perayaan seni yang menggabungkan teknologi dan emosi dalam satu pengalaman luar biasa buat peminat.

“Teknologi yang digunakan pasti menjadikan persembahan kali ini luar biasa dan unik. Saya tak sabar untuk berkongsi pentas dan menyampaikan penghormatan buat Glenn bersama semua peminat,” tambah Bella.

Selain tiket couple RM266, peminat juga boleh menikmati potongan 30 peratus bagi pembelian tiket individu dengan menggunakan kod promosi khas seperti GlennXBella, GlennXAllan, dan GlennXNoh.

Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi www.ticket2u.com/GlennHologram.

Konsert ini turut menandakan sejarah tersendiri buat industri muzik Malaysia dan Asia Tenggara apabila buat julung kalinya teknologi hologram dipersembahkan dalam konsert penuh berskala besar di negara ini.

Komen
Loading...