Ikuti Kami:

Bella Astillah Fokus Perbaiki Vokal untuk Konsert “A Night With Sumandak Stars”

Bella Astillah Fokus Perbaiki Vokal untuk Konsert “A Night With Sumandak Stars”

Penyanyi Bella Astillah, 30, yang bakal membuat persembahan dalam konsert A Night With Sumandak Stars pada 30 November ini, berkongsi bahawa fokusnya kini adalah pada memperbaiki vokal sebagai persiapan untuk persembahan besar itu.

Ditemui semasa acara Jelajah Jiwa SME di Central i-City, Shah Alam, pada Jumaat, Bella menyatakan komitmennya untuk memberikan yang terbaik dalam konsert yang akan menampilkan barisan artis berbakat dari Sabah.

“Buat masa ini, saya hanya fokus diri saya sahaja. Saya ada kelemahan dan kekurangan, lebih baik saya fokus pada diri sendiri dan vokal saja,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada persiapannya, Bella mengikuti kelas vokal secara intensif bersama jurulatih Cikgu Shafi untuk memantapkan kemahirannya.

Dalam persiapan kali ini, Bella menyerahkan aspek teknikal seperti pengurusan penari kepada pihak label, membolehkan dia memberi tumpuan penuh kepada vokalnya.

Walaupun belum diputuskan jumlah lagu yang akan dibawakannya kerana ramai penyanyi lain turut terlibat, Bella mahu memastikan persembahannya meninggalkan impak positif.

“Ia melibatkan artis-artis dari Sabah, semua hebat dan saya berasa sangat kecil tetapi apapun saya bersyukur. Ini peluang dan rezeki, jadi saya kena buat yang terbaik,” ujar Bella.

Bella juga rasa terujanya untuk beraksi bersama artis terkenal seperti Azharina, Ayu Damit, Marsha, Nikki Palikat, Adira, Didie Astillah, dan Wani Kayrie dan Salma yang baru diumumkan penganjur.

 

Komen
Loading...