Bekas Ahli SNSD, Jessica Jung Kembali Ke Malaysia Dalam Jelajah Konsert Reflections
- oleh MDaily Editor
- 10 Nov 2025 7:58 pm
Bintang sensasi Korea-Amerika, Jessica Jung, bakal membuka tirai tahun 2026 dengan persembahan istimewa di Malaysia menerusi Jessica Concert Tour 2026 Reflections in Malaysia, yang akan berlangsung pada 11 Januari 2026 (Ahad), jam 7 malam di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Konsert ini menandakan destinasi pertama jelajah dunia Reflections, menjadikan Malaysia antara negara bertuah untuk menyaksikan kembalinya figura popular itu di pentas tempatan.

Persembahan tersebut dijangka menjadi hadiah bermakna buat peminat setia yang digelar ‘Golden Stars’, dengan konsep persembahan yang penuh nilai artistik dan penceritaan emosi.
Menurut penganjur, konsert ini akan membawa penonton mengimbau perjalanan karier Jessica sejak awal pembabitannya dalam industri muzik, termasuk era kegemilangannya bersama kumpulan Girls’ Generation (SNSD) sehingga menjadi artis solo yang berjaya.

Jessica yang pernah mencipta nama dengan lagu-lagu popular seperti Fly (feat. Fabolous), Big Mini World, Summer Storm dan Falling Crazy In Love, dijangka mempersembahkan rangkaian karya terbaiknya dalam konsert berdurasi hampir dua jam itu.
Selain bergelar penyanyi dan penulis lagu, Jessica turut dikenali sebagai pengasas jenama fesyen Blanc & Eclare, penulis novel “Shine” dan “Bright”, serta pelakon dalam beberapa filem dan pementasan muzikal di Korea dan China.
Tiket konsert akan mula dijual pada 20 November 2025 (Khamis), bermula jam 3 petang menerusi laman web www.fantopia.io dan rwgenting.com dengan harga antara RM288 hingga RM988, tidak termasuk caj pemprosesan RM4.




