Ikuti Kami:

BCL Sarat Emosi & Kejutan dalam Konsert Eternal Love Timeless Romance

BCL Sarat Emosi & Kejutan dalam Konsert Eternal Love Timeless Romance

Malam penuh emosi dan sarat kenangan indah tercipta apabila penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), kembali menghiburkan ribuan peminat Malaysia menerusi konsert BCL: Eternal Love Timeless Romance di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), malam tadi.

Selepas beberapa tahun tidak mengadakan konsert solo berskala besar di tanah air ini, BCL tampil memukau dengan rangkaian lagu hits yang membawa penonton menyelami perjalanan seni serta kisah cintanya.

Konsert anjuran Pulse Project Asia itu menjadi lebih istimewa dengan kehadiran barisan artis hebat tanah air yang tampil memberikan kejutan.

Antara momen menarik termasuklah duet BCL bersama Jaclyn Victor menerusi Love Story, disusuli persembahan penuh emosi 12 Tahun Terindah bersama pemuzik ternama, Dennis Lau, yang mengiringi dengan biola.

BCL turut berpadu suara dengan Fajar Noor menerusi Tetaplah Di Hatiku, Puteri Iklan dan Aku dan Dirimu yang menghangatkan suasana.

Sorakan paling gemuruh tercetus apabila penyanyi antarabangsa kebanggaan Malaysia, Yuna, muncul mengejut untuk berduet dengan BCL dalam lagu Watak Utama. Kehadiran Yuna sekaligus menjadi sorotan utama malam penuh memori itu.

Selain persembahan bertenaga, konsert turut diserikan dengan produksi pentas, visual serta pencahayaan bertaraf dunia.

Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Ingkar, Jangan Gila, Dance Tonight, Tentang Kamu, Cinta Pertama, Wanita Terbahagia, Selalu Ada di Nadimu, Memulai Kembali, Cinta Sejati dan Sinaran, sebelum tirai ditutup dengan penuh emosional melalui Karena Kucinta Kau serta Badai Telah Berlalu.

Komen
Loading...