Ikuti Kami:

BCL Kembali Ke KL: Janji Persembahan Sarat Emosi 27 September Ini

BCL Kembali Ke KL: Janji Persembahan Sarat Emosi 27 September Ini

Selepas beberapa tahun tidak mengadakan konsert solo berskala besar di Malaysia, penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), bakal kembali menyapa peminat setianya di Kuala Lumpur menerusi konsert BCL: Eternal Love Timeless Romance yang dijadual berlangsung pada 27 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Konsert yang dianjurkan Pulse Project Asia ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjanjikan sebuah malam yang penuh emosi, cinta dan penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seni BCL sejak awal kerjayanya.

Dalam sidang media yang berlangsung di Hotel Imperial Lexis Kuala Lumpur semalam, BCL menyifatkan Kuala Lumpur bukan sekadar destinasi persembahan, tetapi lokasi yang begitu dekat di hati.

“KL sudah seperti kampung saya sendiri kerana saya masih ada keluarga arwah suami di sini. Saya selalu rasa pulang bila datang ke sini. Konsert ini bukan hanya tentang muzik, tetapi tentang menyambung semula hubungan saya dengan peminat dan orang-orang tersayang di sini,” katanya.

Tambah BCL, beliau turut menzahirkan rasa rindu terhadap peminat Malaysia yang menurutnya sentiasa memberikan sambutan yang luar biasa setiap kali beliau berkunjung ke negara ini.

“Saya selalu merasakan sambutan peminat di sini sangat hangat dan istimewa. Konsert kali ini saya dedikasikan untuk mereka sebagai simbol cinta dan perjalanan saya dalam muzik,” ujarnya.

Menambahkan keistimewaan malam tersebut, dua nama besar tempatan turut diumumkan sebagai artis jemputan iaitu Jaclyn Victor dan pemain biola tersohor Dennis Lau yang bakal bergandingan dengan BCL dalam segmen persembahan istimewa.

Menurut Muhammad Anuar Zaini dari Pulse Project Asia, konsert ini diilhamkan daripada ‘aroma-aroma cinta’ dalam karya BCL yang sangat dekat dengan jiwa peminat.

“Penonton akan dibawa menyusuri perjalanan muzik BCL dalam suasana pencahayaan dan produksi bertaraf dunia. Kami mahu jadikan konsert ini sebagai hadiah eksklusif buat peminat tegar beliau di Malaysia,” katanya.

Selain itu, penganjur turut menawarkan beberapa pakej eksklusif termasuk pakej Cinta Abadi yang memberikan akses kepada sesi Meet & Greet peribadi bersama BCL, peluang bergambar serta menerima barangan eksklusif yang ditandatangani sendiri oleh penyanyi itu.

Sebanyak 300 pemegang tiket terawal juga akan diberikan akses kepada sesi latihan tertutup atau soundcheck yang jarang ditawarkan kepada umum.

Tiket sudah mula dijual menerusi platform rasmi www.ticket2u.com.my dengan harga pra-jualan bermula RM259 dan harga normal bermula RM288.

Komen
Loading...