Bazar Amal Genting 2025 Warnai Sambutan 60 Tahun dengan Semangat Komuniti dan Kebajikan
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Sempena sambutan ulang tahun ke-60, Kumpulan Genting bakal menganjurkan Bazar Amal Genting 2025 pada 13 Jun ini, sebagai manifestasi semangat komuniti, kasih sayang dan tanggungjawab sosial yang menjadi teras jenama korporat itu selama enam dekad.
Acara yang berlangsung dari 9 pagi hingga 3 petang di Tempat Letak Kereta Plaza, Wisma Genting, Kuala Lumpur itu terbuka kepada orang ramai dan dijangka menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.
Lebih 60 gerai akan mengambil bahagian dalam bazar tersebut, menawarkan pelbagai pilihan makanan tempatan dan antarabangsa, hasil tani segar, barangan gaya hidup, produk kesihatan dan keperluan harian.
Antara hidangan yang ditawarkan termasuk nasi lemak, briyani, rendang, mihun, pasta, kuih tradisional, burger, wrap, dan pelbagai pencuci mulut, disertai minuman seperti teh Hainan, kopi uncang, asam boi dan soda lemon.
Menurut Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Kumpulan Genting, Spencer Lee, penganjuran bazar ini membawa makna tersendiri kepada syarikat dan komuniti.
“Bazar Amal tahun ini amat bermakna bersempena sambutan 60 tahun Kumpulan Genting. Ia merupakan penghargaan kepada komuniti dan sokongan yang kami terima selama ini. Kami mengalu-alukan penyertaan semua pihak dalam menjayakan usaha membantu mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi peminat masakan, bahan masakan eksklusif seperti sos lobster, sambal udang dan rempah daripada jenama Flavors of Genting dan Dapur Yogyakarta turut ditawarkan.
Gerai barangan pengguna pula akan menampilkan jenama popular seperti Akemi, Tupperware, Montigo, Pensonic, Cornell dan Watson, selain produk kesihatan daripada Eu Yan Sang dan BeaconMart.
Dalam usaha menyemai nilai kelestarian, bazar itu juga akan memperkenalkan bengkel kitar semula sabun serta jualan kraf tangan dan barangan terpakai.
Acara turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif dan persembahan pentas, termasuk tarian singa, persembahan muzik secara langsung, tari baris dan sesi Zumba.
Pengunjung turut berpeluang menikmati permainan realiti maya (VR), menyertai cabutan bertuah, permainan tikam-tikam dan hadiah kotak misteri.
Maskot Genting Highlands Heroes turut hadir bagi menceriakan kanak-kanak dan memberi peluang bergambar bersama keluarga.
Semua pembelian dalam bazar ini menggunakan buku kupon eksklusif bernilai RM200, dalam denominasi RM5, yang boleh dibeli pada hari acara. Sumbangan ikhlas juga boleh disalurkan ke akaun Maybank Genting Berhad (514356803616) dengan rujukan “Genting Charity Bazaar 2025”.
Kesemua hasil kutipan akan disalurkan kepada tiga badan kebajikan terpilih iaitu Shelter Home for Children (Petaling Jaya), Pusat Jagaan Rumah Sejahtera (Bentong), dan Kechara Soup Kitchen Society (Kuala Lumpur).
Bazar Amal Genting 2025 bukan sekadar acara jualan amal, malah merupakan simbol kekuatan komuniti dan iltizam Kumpulan Genting dalam menyumbang kembali kepada masyarakat.