Ikuti Kami:

Bayu Somerset Lancar #somerSYOKraya26, Kolaborasi Arif Rafhan, Bunga Dan Bintang Serta Machino

Bayu Somerset Lancar #somerSYOKraya26, Kolaborasi Arif Rafhan, Bunga Dan Bintang Serta Machino

Jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri tekstil negara dengan pelancaran koleksi Raya 2026, #somerSYOKraya26 yang menampilkan kolaborasi eksklusif bersama tiga nama besar dalam bidang seni dan gaya hidup.

Pelancaran koleksi itu yang diadakan serentak dengan pembukaan outlet terbaharu mereka di Central i-City di sini, menyaksikan gandingan kreatif bersama pelukis Arif Rafhan, jenama Bunga dan Bintang, serta jenama kasut premium, Machino.

Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul, berkata koleksi tahun ini bertujuan memberikan pilihan holistik kepada pelanggan untuk tampil bergaya dari hujung rambut ke hujung kaki (‘head-to-toe’) pada pagi Syawal.

“Menerusi tiga kolaborasi ini, kami menggabungkan tradisi dengan seni kontemporari. Contohnya, bersama Machino, kami memperkenalkan empat rekaan kasut eksklusif dan empat gaya skarf bagi melengkapkan gaya pelanggan kami.

“Walaupun siluet kami berakar daripada warisan budaya Malaysia, warna dan corak yang ditampilkan adalah moden serta berani, sesuai dengan DNA Bayu Somerset yang ceria,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tersebut, semalam.

Koleksi #somerSYOKraya26 menampilkan 50 corak unik, lebih lima siluet baharu, serta tujuh set keluarga yang direka khusus untuk keselesaan pemakaian harian.

Menyentuh mengenai keunikan setiap kolaborasi, Arif Rafhan memberikan nafas moden kepada motif batik klasik dengan palet warna ceria, manakala Bunga dan Bintang mengekalkan elemen feminin menerusi motif flora lembut berona pastel.

Paling mencuri tumpuan adalah kerjasama bersama Machino yang menggabungkan bunga Hana ikonik mereka dengan rekaan batik khas Bayu Somerset dalam tona warna musim luruh yang hangat.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran selebriti popular, Anzalna Nasir yang menggayakan koleksi Inara Kurung, serta Liza Hanim yang tampil sedondon bersama anak perempuannya dalam set Kebaya Agnes Kotabaru.

Selain itu, Bayu Somerset turut memperkenalkan jingle rasmi pertama mereka yang menampilkan vokal bintang muda sedang meningkat naik, Aisha Retno, bagi merakam semangat “be bold, be loud” yang menjadi teras jenama itu.

Koleksi #somerSYOKraya26 kini boleh didapati di semua outlet Bayu Somerset di seluruh negara serta secara dalam talian dengan harga bermula dari RM99, manakala rangkaian produk premium kolaborasi Machino bermula pada harga RM188.

Komen
Loading...