Ikuti Kami:

Batik Air Sasar Latih 200 Pelajar MRSM Sebagai Jurutera Penyelenggaraan Pesawat Berlesen

Batik Air Sasar Latih 200 Pelajar MRSM Sebagai Jurutera Penyelenggaraan Pesawat Berlesen

Batik Air melangkah setapak ke hadapan dalam memperkukuh ekosistem penerbangan negara menerusi kerjasama strategik bersama MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) yang menyasarkan pengambilan sehingga 200 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Inisiatif tersebut bertujuan melatih pelajar berkenaan sebagai Jurutera Penyelenggaraan Pesawat Berlesen (LAE) di bawah program CAAM Part 66 dalam tempoh empat tahun akan datang.

Menerusi surat niat (LOI) yang dimeterai semalam, laluan kerjaya itu menggabungkan latihan berstruktur di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), sokongan kewangan secara berfasa, serta prospek pekerjaan yang jelas sebaik sahaja memperoleh pensijilan.

Majlis pertukaran LOI itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corp, Dato’ Amir Azhar Ibrahim bersempena Majlis Makan Malam Gala Jubli Intan MARA ke-60 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Datuk Chandran berkata, pelaburan dalam bakat baharu adalah kunci utama untuk memastikan pertumbuhan mampan industri penerbangan yang kian berkembang pesat.

“Langkah ini bukan sekadar memenuhi keperluan operasi Batik Air, malah ia adalah tanggungjawab kami dalam membina kapasiti tenaga kerja masa hadapan yang kompeten dan sedia industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain pembangunan modal insan, kerjasama itu turut merangkumi rancangan Batik Air untuk mewujudkan operasi penyelenggaraan pangkalan (base maintenance) di kemudahan hangar Subang.

Langkah ini juga melibatkan penilaian semula kedudukan Asia Aerotechnic Sdn. Bhd. (AAT) bagi memperkasa landskap Penyelenggaraan, Pembaikan dan Operasi (MRO) di Malaysia.

Sementara itu, Dato’ Amir Azhar menegaskan bahawa kolaborasi tersebut mencerminkan komitmen MARA Corp dalam memajukan industri penerbangan bernilai tinggi melalui pembinaan keupayaan dan perkongsian industri.

“Bersama Batik Air, kami berhasrat untuk meletakkan Malaysia sebagai hab serantau yang kompetitif bagi kecemerlangan MRO, sekali gus meningkatkan portfolio penerbangan MARA Corp ke tahap yang lebih tinggi,” jelas beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pengarah MARA merangkap Pengerusi MARA Corp, Dato’ Zulfikri Osman dan pengasas Kumpulan Lion Air, Pak Rusdi Kirana.