Batik Air Perkenal Penerbangan Terus Kota Kinabalu–Seoul Mulai 12 September
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Batik Air bakal merancakkan kemasukan pelancong dari Korea Selatan ke Malaysia Timur menerusi pelancaran laluan penerbangan terus baharu antara Kota Kinabalu, Sabah (BKI) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul (ICN), yang akan bermula pada 12 September 2025.
Batik Air memaklumkan laluan baharu itu akan beroperasi tiga kali seminggu, sekaligus menghapuskan keperluan transit di Kuala Lumpur atau bandar lain, serta menawarkan pilihan perjalanan yang lebih cepat dan mudah kepada para pelancong.
“Laluan ini membuka pintu masuk tanpa gangguan untuk pelancong Korea Selatan meneroka keindahan semula jadi dan khazanah budaya Sabah,” menurut kenyataan itu.
Sabah, khususnya Kota Kinabalu, kini semakin mendapat perhatian sebagai pintu masuk strategik bagi pelancong Korea yang ingin meneroka Asia Tenggara.
Dari Januari hingga September 2024, hampir 152,000 pelawat dari Korea Selatan direkodkan berkunjung ke Sabah, mencerminkan daya tarikan negeri itu yang semakin meningkat.
Dengan keindahan hutan hujan tropika, lokasi menyelam bertaraf dunia serta Gunung Kinabalu yang ikonik, Kota Kinabalu menawarkan gabungan unik antara alam semula jadi dan pengembaraan.
Daya tarikannya turut diperkukuh dengan pemandangan matahari terbenam yang menawan, warisan budaya yang kaya serta keramahan penduduk tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, berkata pelancaran laluan baharu ini adalah sebahagian daripada visi syarikat untuk memperkukuhkan hubungan serantau dan memperluas rangkaian penerbangan di Asia.
“Laluan ini bukan sahaja meningkatkan hubungan antara Sabah dan Korea Selatan, malah mencerminkan komitmen Batik Air dalam membina jaringan serantau yang lebih kukuh merentas Asia. Kami berusaha mewujudkan hubungan yang lebih bermakna antara budaya, ekonomi dan komuniti,” katanya.
Pada masa sama, Korea Selatan kekal sebagai antara destinasi antarabangsa utama bagi rakyat Malaysia, sering berada dalam senarai lima teratas.
Menurut Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO), lebih 300,000 rakyat Malaysia mengunjungi Korea Selatan pada tahun 2024, dengan peningkatan ketara dari Sabah dan Sarawak mencerminkan minat yang semakin mendalam terhadap budaya, makanan dan gaya hidup Korea dalam kalangan penduduk Malaysia Timur.
Pelancaran laluan BKI–ICN ini mengukuhkan lagi pengembangan strategik Batik Air ke Asia Utara, sambil memacu pelancongan dua hala antara Korea Selatan dan Malaysia Timur serta memperkukuh kedudukan Kota Kinabalu sebagai hab penerbangan antarabangsa yang sedang meningkat naik.
Untuk maklumat lanjut dan merancang perjalanan anda, muat turun aplikasi mudah alih Batik Air atau layari laman web rasmi di www.batikair.com.