Ikuti Kami:

Batik Air perkasakan Kota Kinabalu sebagai hab utama Malaysia Timur

Batik Air perkasakan Kota Kinabalu sebagai hab utama Malaysia Timur

Batik Air secara rasmi memperkukuh kedudukannya di Borneo dengan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) sebagai hab strategik utama bagi rangkaian penerbangan di Malaysia Timur menerusi pelancaran dua laluan domestik baharu, hari ini.

Laluan yang menghubungkan Kota Kinabalu dengan Kuching (KCH) serta Sandakan (SDK) itu memulakan operasi sulungnya hari ini, sekali gus menawarkan pilihan perjalanan yang lebih pantas dan cekap bagi penduduk di wilayah berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, berkata langkah memperluas perkhidmatan dari Kota Kinabalu adalah pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan syarikat untuk menghubungkan komuniti di Sabah dan Sarawak dengan lebih baik.

“Laluan ini bukan sahaja meningkatkan ketersambungan dalam rantau Borneo, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat. Sebagai sebahagian daripada komitmen kami, Batik Air juga bakal melancarkan penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Singapura bermula Februari tahun depan.

“Inisiatif ini adalah sokongan padu kami terhadap Tahun Melawat Malaysia 2026 dan usaha berterusan memperkukuh sektor pelancongan di Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas majlis sambutan penerbangan sulung di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffery Jimit.

Sementara itu, Julinus berkata, penambahan jadual penerbangan tersebut memenuhi permintaan perjalanan yang semakin meningkat antara bandar-bandar utama di Borneo serta memudahkan akses ke Sandakan yang terkenal sebagai pintu masuk pelancongan alam semula jadi.

“Perkembangan ini selari dengan kempen ‘Explore Sabah 2026’ yang meletakkan ketersambungan udara sebagai asas utama untuk menarik lebih ramai pelancong tinggal lebih lama dan merancakkan pertumbuhan ekonomi secara seimbang di seluruh negeri,” katanya.

Batik Air kini menawarkan kekerapan tujuh penerbangan mingguan bagi setiap laluan, menyediakan kapasiti keseluruhan sebanyak 1,120 tempat duduk seminggu bagi laluan Kuching-Kota Kinabalu dan Sandakan-Kota Kinabalu.

Selain pengembangan di Malaysia Timur, syarikat penerbangan itu turut melancarkan beberapa laluan antarabangsa baharu hari ini termasuk Tashkent (Uzbekistan) ke Langkawi serta Osaka (Jepun) ke Kuala Lumpur, yang mencerminkan statusnya sebagai antara syarikat penerbangan paling pesat berkembang di rantau ini.

Komen
Loading...