Batik Air Lancar Laluan Ketiga ke Sarawak, Perkukuh Rangkaian ke Bintulu
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Batik Air hari ini dengan bangga memperkenalkan laluan ketiganya yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Bintulu, Sarawak, menambah kekuatan rangkaian penerbangan terus ke Malaysia Timur.
Penerbangan sulung yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) disambut meriah di Lapangan Terbang Bintulu (BTU) dengan pelbagai acara perayaan tradisional yang mencerminkan keunikan budaya Sarawak, termasuk kalungan manik oleh Lembaga Pelancongan Sarawak kepada para penumpang.
Majlis sambutan turut dihadiri tetamu kehormat seperti Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin; Penasihat Teknikal Penerbangan Sarawak, Sio Yew Hua; ADUN Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming; Residen Bintulu, Datu Nyurak Keti; Pengarah Pelancongan Malaysia Sarawak, Nurul Ain Mohammed Yunus; dan Pengurus ATS / ATCO Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jobrin Anak Sani.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, menyatakan bahawa penerbangan sulung ini melambangkan komitmen Batik Air dalam menghubungkan wilayah-wilayah di Malaysia sambil menyokong pertumbuhan Sarawak sebagai destinasi utama.
“Dengan pengembangan rangkaian kami ke bandar yang penuh dengan potensi ini, kami berhasrat untuk memperkasa pelancongan tempatan, menyokong pertumbuhan perniagaan serantau, serta menyediakan sambungan yang lancar dan menyenangkan di Malaysia Timur dan luar negara.”
Bintulu, yang terkenal dengan ekopelancongan dan kepentingan industri, menawarkan akses mudah kepada landskap semula jadi Sarawak yang memukau serta persekitaran perniagaan yang pesat.
Antara destinasi ikonik ialah Taman Negara Similajau yang popular dengan pantai bersih, hutan hujan subur, dan kepelbagaian hidupan liar seperti ungka, burung kenyalang, dan buaya muara.
Selain itu, Bintulu turut memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia terutamanya dalam pengeluaran Gas Asli Cecair (LNG) dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), menjadikannya destinasi yang amat bernilai bagi pelancong perniagaan dan pelabur.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin, turut menyambut baik penambahan laluan Batik Air yang kini meliputi empat lapangan terbang utama di Sarawak iaitu Kuching, Sibu, Bintulu, dan Miri yang dijangka bermula pada Januari tahun hadapan.
Menurut beliau, perkembangan ini akan meningkatkan lagi hubungan udara antara Malaysia Barat dan Sarawak.
“Menjelang musim perayaan, adalah penting bagi Batik Air untuk memastikan kapasiti tempat duduk yang mencukupi bagi para penumpang yang pulang ke Sarawak,” kata Dato’ Sri Lee.
Beliau turut menyarankan agar Batik Air mempertimbangkan untuk mengembangkan laluan penerbangannya ke destinasi serantau lain, termasuk Singapura dan China.
Laluan Kuala Lumpur–Bintulu akan beroperasi sepuluh kali seminggu, menyediakan pilihan perjalanan harian yang selesa dengan pesawat Boeing 737 yang menawarkan kelas Ekonomi dan Perniagaan.
Dengan penambahan Bintulu, Batik Air kini menawarkan destinasi utama di Sarawak iaitu Kuching dan Sibu, memberikan lebih banyak pilihan kepada pelancong untuk meneroka negeri terbesar di Malaysia dan memudahkan perhubungan antara Malaysia Timur dan Barat.