Ikuti Kami:

Batik Air buka laluan terus Seoul–Kota Kinabalu, lonjak pelancongan Sabah

Batik Air buka laluan terus Seoul–Kota Kinabalu, lonjak pelancongan Sabah

Pelancongan Sabah terus rancak apabila Batik Air melancarkan laluan penerbangan terus baharu dari Incheon, Seoul ke Kota Kinabalu, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai pintu masuk utama pelancong Korea Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan berkenaan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha syarikat memperluaskan rangkaian ke bandar utama Asia.

“Korea Selatan kekal sebagai pasaran utama Kota Kinabalu. Penerbangan terus ini dijangka memberi lebih banyak peluang pertukaran budaya, kerjasama perniagaan dan pertumbuhan pelancongan di Sabah.

“Batik Air juga berhasrat menarik lebih ramai pengunjung antarabangsa ke Malaysia Timur, menyokong inisiatif negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, penambahan tiga penerbangan baharu itu meningkatkan jumlah penerbangan mingguan dari Seoul ke Kota Kinabalu daripada 25 kepada 28 penerbangan.

“Kesalinghubungan ini membuktikan permintaan tinggi daripada pelancong Korea Selatan. Kami yakin ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan Sabah, selain mempamerkan keunikan budaya dan keindahan alam semula jadi negeri ini,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung yang menegaskan laluan baharu itu adalah hasil sokongan program International and Charter Flight Matching Grant (GSPC).

“Penerbangan terus ini mengukuhkan kesalinghubungan udara Malaysia–Korea, selain menyokong matlamat jangka panjang dalam memperluas pasaran pelancong ke Malaysia. Kami yakin ia akan membawa limpahan ekonomi kepada hotel, peruncitan dan perkhidmatan pelancongan tempatan,” katanya.

Sabah kekal menjadi tarikan utama pelancong Korea Selatan dengan keindahan pulau tropika, hutan hujan, hidupan marin, serta Gunung Kinabalu yang ikonik.

Selain itu, aktiviti menyelam, ekopelancongan, festival kebudayaan dan pelbagai pilihan kulinari menjadikan negeri ini destinasi pilihan utama.

Komen
Loading...