Ikuti Kami:

Baru Nak Jual Mercun Di Facebook, Dapat “Reply” Daripada Polis Muar Sendiri

Baru Nak Jual Mercun Di Facebook, Dapat “Reply” Daripada Polis Muar Sendiri

Baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang individu membuat penjualan mercun dan bunga api di laman Facebooknya dan berkongsi ke Grup Facebook Anak-Anak Muar.

Perkongsiannya itu telah menarik perhatian Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip yang membalas di ruangan komen dengan membuat tempahan untuk mercun berkenaan.

Netizen berpendapat tujuan Ketua Polis ini memberi komen dengan membuat pesanan mercun di hantaran tersebut, adalah sebagai satu peringatan kepada orang ramai bahawa menjual mercun merupakan satu kesalahan besar dan boleh dijatuhi hukuman penjara jika sabit kesalahan.

Mengikut undang-undang di Malaysia sesiapa yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga api selain yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207). Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bermain dan membakar mercun serta bunga api yang dilarang juga boleh dihukum penjara tidak melebihi satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Namun terdapat pengecualian terhadap dua jenis mercun dan bunga api jens Pop Pop dan Happy Boom sahaja yang dibenarkan untuk dimainkan di Malaysia.

Walaupun mengetahui bahayanya mercun dan ia adalah merupakan satu kesalahan besar bagi sesiapa yang memiliki atau menjual mercun, namun masih ada individu yang tidak bertanggungjawab menjualnya setiap tahun.

Tahun ini juga terdapat satu kes di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menjadi mangsa cedera akibat letupan mercun bola di rumahnya di Besut, Terengganu.

Foto: Media Sosial

Komen
Loading...