Barisan Artis Lagenda Bersatu di Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 dengan 22 Lagu Hits
- oleh Mohd Indera
- sebulan lalu
Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 akan memukau peminat dengan barisan artis-artis lagenda seperti Datuk Jamal Abdillah, Dato’ Hattan, Dato’ Nash, Man Bai, Noorshila Amin, Ramlah Ram, Zur Eda, Andy Flop Poppy, dan Amir Masdi.
Konsert ini akan disajikan dengan 22 lagu hits yang tidak hanya mengimbau nostalgia, tetapi juga menyentuh hati para penonton.
Amir Masdi, yang merupakan artis muda berbakat, turut menyertai konsert ini untuk menarik minat generasi muda, membolehkan mereka merasai keindahan dan kekuatan muzik tempatan yang penuh dengan sejarah.
Konsert ini bukan sekadar persembahan solo; segmen istimewa dengan kolaborasi antara artis berlainan generasi juga akan diadakan, iaitu segmen tribute khas kepada arwah Jay Jay.
Dalam segmen ini, semua artis akan menyanyi bersama dalam medley dua lagu popular Jay Jay, “Cukuplah Sekali” dan “Rindu Bayangan,” menjanjikan momen luar biasa di atas pentas.
Pengasas dan Pengarah Pentas 365 Events, Afiezan Shah Mohd Zahari, yang juga penganjur konsert ini, meluahkan keterujaannya melihat gabungan artis legenda ini mengimbau memori muzik tanah air.
“Konsert ini adalah dedikasi untuk meraikan perjalanan hebat industri muzik kita. Setiap artis dalam barisan ini telah memberikan impak besar dan mereka bukan sekadar penyanyi, tetapi ikon yang melambangkan seni muzik dan budaya kita,” kata Afiezan.
Datuk Hattan, salah seorang artis yang terlibat, turut berkongsi pandangannya mengenai keunikan konsert ini.
“Keistimewaan konsert ini adalah barisan artis-artisnya yang mempunyai lagu-lagu hits sepanjang zaman.” ujarnya.
Konsert ini juga akan mengumumkan Shah Slam sebagai pengarah muzik. Shah Slam berkongsi keterujaannya bekerjasama dengan barisan artis-artis lagenda atas satu pentas.
“Ini satu peluang untuk saya bekerjasama dengan barisan artis-artis lagenda atas satu pentas. Ini satu peluang yang tidak datang selalu.” katanya.
Menambah lagi elemen istimewa konsert ini, Kid Search dijangka membuat penampilan khas sebagai pemain gitar untuk lagu “Masih Aku Terasa,” mengukuhkan lagi malam penuh nostalgia ini.
Afiezan turut mengajak peminat untuk hadir dengan berpakaian bertema retro bagi menyemarakkan suasana malam tersebut.
“Kami berharap konsert ini bukan sekadar malam persembahan, tetapi satu perayaan yang tidak akan dilupakan, di mana peminat dapat berkongsi memori indah industri muzik kita,” tambahnya.
Konsert ini juga bakal dimeriahkan dengan kehadiran Joey Daud, yang diumumkan sebagai pengacara rasmi untuk acara tersebut.
Konsert ini dijadualkan pada 25 Januari 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Tiket konsert ini telah mula dijual sejak 29 September lalu dan boleh didapati melalui laman web www.myticketempire.com atau Instagram rasmi MEGAHITZ di @pentas365 untuk maklumat lanjut.