Ikuti Kami:

Barbarik Tampil Lebih ‘Keras’ di Mega Star Arena

Barbarik Tampil Lebih ‘Keras’ di Mega Star Arena

Selepas kejayaan luar biasa di Odeon KL pada Disember tahun lalu, kumpulan Barbarik kembali membuktikan dominasi mereka dalam genre muzik keras menerusi konsert Pentas Barbarik Vol. 2 yang menggegarkan Mega Star Arena, semalam.

​Tampil dengan skala yang lebih besar dan teknikal yang lebih mantap, konsert kali ini memperlihatkan sisi ‘ganas’ Barbarik yang diterajui oleh gandingan ikonik, Muss (vokal) dan Jobranko (gitar), serta paduan kekuatan Rozaimi (bass) dan Ainol (dram).

​Eksperimen ‘Gila’ Tiga Dram, Dua Bass
​Kelainan paling ketara yang ditampilkan kali ini adalah pada lagu pembukaan, Golok Kayu.

Penonton terpaku apabila pentas menyaksikan gabungan tiga set dram dan dua pemain bass yang dimainkan secara serentak, menghasilkan impak bunyi yang lebih padat, berat, dan agresif.

​Kehangatan itu ditambah lagi dengan kehadiran pemain gitar legenda, Karl Cromok, yang muncul melakukan kolaborasi dalam lagu tersebut, sekali gus memberikan nuansa teknikal yang cukup tinggi buat peminat tegar muzik metal.

​Daya tarikan konsert turut terarah kepada petikan gitar Jobranko yang tampil menggunakan instrumen terbaharu hasil kerjasama eksklusif bersama jenama gitar terkemuka dunia, Gibson.

Bunyi yang dihasilkan nyata lebih premium, melengkapi vokal Muss yang tetap ampuh dan tidak menunjukkan sebarang tanda ‘pudar’ meskipun menyampaikan lagu-lagu bernada tinggi.

​Menambahkan lagi nilai nostalgia, Barbarik turut menjemput barisan bekas anggota kumpulan Wings antaranya Black, Eddie, Mel, dan Jojet.

Kehadiran mereka membawa dimensi berbeza apabila Mel mengambil alih pentas menerusi lagu-lagu berhantu seperti Lena Diulit Intan dan Ranjang Mawar.

​Peminat setia yang membanjiri ruang arena nyata berpuas hati apabila Barbarik mempertaruhkan barisan lagu yang jarang sekali kedengaran secara langsung.

Antara naskhah rare yang berjaya memukau penonton termasuklah Delilah, Enigma, Mayang Kulit, serta untaian lagu yang dibawa khas oleh Mel iaitu Lena Diulit Intan dan Ranjang Mawar.

​Kehangatan konsert terus memuncak dengan lagu Penunggu dan Krisis Dipertengahan Hidup, selain tidak mengetepikan lagu-lagu ‘wajib’ yang dinantikan seperti Peluru Cokelat, Didakap Pesona, Kasmaran Selamanya, Nasib Baik, dan Keris Tak Bersarung yang dinyanyikan bersama oleh ribuan peminat.

Komen
Loading...