Ikuti Kami:

BARBARIK ‘Pentas Peluru Cokelat’ Umum Setlist Awal, Tampil Dengan Konsep Kreatif

BARBARIK ‘Pentas Peluru Cokelat’ Umum Setlist Awal, Tampil Dengan Konsep Kreatif

Kumpulan rock BARBARIK bakal mempersembahkan sebuah konsert yang unik dan penuh kreativiti menerusi Pentas Peluru Cokelat di ZEPP Kuala Lumpur pada Sabtu, 28 Jun 2025 jam 8.45 malam.

Menariknya, kumpulan ini mengumumkan setlist konsert mereka lebih awal, langkah yang jarang dilakukan oleh penganjur konsert berskala besar.

Konsert bersempena kelahiran album pertama mereka, Peluru Cokelat yang dilancarkan pada Oktober 2024, bakal menyaksikan BARBARIK membawa pendekatan segar dan dinamik bagi setiap bahagian persembahan dari pembukaan, pertengahan hingga penutup.

Menurut pengasas BARBARIK, Jobranko, cabaran era digital yang mengubah cara penonton menikmati muzik memerlukan konsert ini membawa kelainan yang lebih kreatif dan bermakna.

“Biasanya kalau buat konsert memang saya akan fikirkan kelainan, kalau dulu kita boleh kekalkan satu konsep dan bawa ke mana-mana, sekarang ini masyarakat semua pakai telefon. Jadi persembahan yang sama tidak boleh diulang di tempat lain,”

“Cabaran itu membuat kami lebih kreatif supaya konsert ini tidak dijangka dan mempunyai isi yang benar-benar bermakna,” jelas Jobranko ketika sidang media Konsert Pentas Peluru Cokelat yang diadakan di Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Khamis.

Setlist yang diumumkan lebih awal memberikan gambaran jelas tentang perjalanan muzik BARBARIK sepanjang dua jam konsert nanti.

Lagu-lagu seperti Nasib Baik, Marcapada, Didakap Pesona dan Peluru Cokelat akan dipersembahkan bersama lagu klasik seperti Watari, Rastali, dan Jerangkung Dalam Almari .

Dari kiri – Muzza, Ainol, Rozaimi, Muss, Karl Cromok, Shah Slam, Jobranko dan Ujang Tukimon.

Persembahan juga akan diserikan dengan kehadiran gitaris undangan ternama Shah Slam, Ujang Tukimon dan Muzza di segment retro secara akustik dan string, serta kemunculan khas Karl Cromok yang bakal menghidupkan lagu Golok Kayu dan sebuah lagi lagu yang dirahsiakan.

Penganjur utama, Karri Talk Production melalui wakilnya Syed Hassan Farid, menyatakan keyakinan mereka terhadap potensi dan kredibiliti BARBARIK untuk menyampaikan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memartabatkan muzik tanah air.

“Kepercayaan kami kepada keupayaan BARBARIK dan seluruh pasukan produksi menjadi asas penganjuran konsert ini. Konsep yang dibawa turut selari dengan agenda kami mempromosikan muzik tempatan ke pentas yang lebih besar, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.

Tiket untuk konsert ini dijual dalam harga yang berbeza mengikut kategori, bermula daripada RM150 sehingga RM8,000 bagi pakej VIP Box. Pembelian tiket boleh dibuat secara atas talian di ilassotickets.com.

Selain konsert, para peminat berpeluang menghadiri sesi ‘Meet & Greet’ bersama BARBARIK pada 29 Jun 2025 di Heritage Club, Royal Chulan Kuala Lumpur dengan bayaran RM100 seorang dan terhad kepada 200 peserta sahaja. Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi +6011-5502 5020 (Jat).

Dengan pendekatan yang lebih segar dan kreatif ini, BARBARIK yakin konsert Pentas Peluru Cokelat akan meninggalkan kesan mendalam kepada peminat rock dan memperkukuh lagi posisi mereka dalam arena muzik Malaysia.

Jadi, buat para rockers tegar, bersedialah untuk pengalaman yang luar biasa kerana BARBARIK akan memastikan anda benar-benar ‘rock’ malam itu!

Komen
Loading...