
Selepas mencipta nama menerusi beberapa konsert terdahulu, band rock tempatan BARBARIK bakal kembali menggamatkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi konsert eksklusif berjudul BARBARIK Pentas Peluru Cokelat pada 28 Jun 2025, jam 8.30 malam.
Konsert ini diadakan bersempena pelancaran album sulung mereka, Peluru Cokelat, yang diterbitkan pada 9 November tahun lalu.
BARBARIK yang dianggotai oleh Muss selaku vokalis, JoBranko di posisi gitar, Rozaimi selaku pemain bass dan Ainol di bahagian dram tampil dengan keyakinan baharu apabila buat julung kalinya akan mempersembahkan sepenuhnya lagu-lagu ciptaan sendiri.
Berbeza daripada konsert-konsert sebelum ini yang banyak memuatkan lagu era Muss bersama Wings, konsert kali ini menjadi titik tolak kepada penjenamaan sebenar BARBARIK sebagai band yang memiliki identiti tersendiri.
Menurut JoBranko, persembahan kali ini akan berlangsung selama dua jam dan akan memuatkan lebih daripada 20 buah lagu termasuk karya baharu daripada album Peluru Cokelat serta beberapa lagu lama yang diberi nafas segar.
Beliau turut menjanjikan elemen kejutan pada setiap fasa konsert – dari pembukaan sehinggalah ke penutup, yang mampu menguji adrenalin penonton dari awal hingga akhir.
“Konsert ini bakal memaparkan identiti sebenar BARBARIK. Kami janjikan satu persembahan yang penuh tenaga dan tidak akan membuatkan penonton berganjak dari mula hingga tamat,” kata JoBranko.
Konsert yang dianjurkan oleh Karri Talk Production dengan kerjasama Pentas Barbarik Sdn. Bhd. ini merupakan simbolik komitmen mereka untuk terus bertapak kukuh dalam dunia muzik arus perdana.
Album Peluru Cokelat sendiri telah menjalani rakaman selama enam bulan bermula Mac 2024 dan mengandungi tujuh buah lagu termasuk Golok Kayu (menampilkan Karl Cromok), Didakap Pesona, Kasmaran Selamanya, dan Gelap Nan Terang.
Lagu utama album yang turut dijadikan tajuk iaitu Peluru Cokelat digarap oleh JoBranko dan ditulis oleh penulis lirik prolifik, Nasir Jani.
Lagu tersebut mengangkat tema perjuangan dan kemanusiaan yang sangat relevan dengan konflik semasa di Palestin.
Sebagai usaha menghargai permintaan peminat dan mengembalikan nilai sentimental terhadap muzik fizikal, album ini dilancarkan dalam empat format berbeza iaitu cakera padat, piring hitam, kad USB serta versi digital yang dihantar melalui emel.
Kesemua lagu dalam album merupakan ciptaan JoBranko dengan lirik hasil sumbangan penulis seperti Nasir Jani, Muss, Bambino, Nuar Botak dan JoBranko sendiri.
Proses mastering pula dijalankan oleh Don Bartley di Benchmark Mastering, Brisbane, Australia, dengan penglibatan pemuzik undangan seperti Karl Cromok dan pemain keyboard Adi Yamin.
Tiket konsert ditawarkan pada harga antara RM150 hingga RM380, manakala pakej eksklusif VIP Box berharga RM8,000 turut disediakan. Semua tiket boleh diperoleh menerusi laman web rasmi ilassotickets.com.
BARBARIK yakin konsert ini bukan sahaja akan memberi kepuasan maksimum kepada peminat tegar mereka, malah mampu menarik perhatian generasi baharu yang menghargai muzik rock sejati.