Ikuti Kami:

Barbarik Kecewa Peminat Gagal Masuk, Janji Pindah Lokasi Untuk Volume 2

Barbarik Kecewa Peminat Gagal Masuk, Janji Pindah Lokasi Untuk Volume 2

Kumpulan Barbarik melahirkan rasa simpati dan kekecewaan yang mendalam berhubung insiden pembeli tiket gagal memasuki dewan persembahan malam tadi, yang mengakibatkan pengalaman buruk menimpa peminat.

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan, kumpulan muzik itu secara terbuka menyatakan kekecewaan terhadap apa yang berlaku dan turut mengakui terkesan dengan nasib penonton yang terpaksa berhimpit dan ‘kepanasan di dalam dewan persembahan’.

“Kumpulan Barbarik ingin menzahirkan perasaan simpati atas apa yang berlaku kepada pembeli-pembeli tiket yang tidak dapat memasuki dewan persembahan malam tadi. Percayalah kami juga terseksa,” kata kenyataan tersebut.

Barbarik dalam masa yang sama tampil menjelaskan bahawa pihak mereka tidak mengetahui-menahu atau terlibat dalam isu penggantian tiket yang dikatakan berjaya memasuki persembahan.

Kumpulan itu menegaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam penjualan tiket bagi persembahan yang berlangsung semalam.

“Untuk makluman, pihak Barbarik memang tidak terlibat di dalam penjualan tiket untuk persembahan semalam,” jelas mereka.

Mengambil iktibar daripada insiden itu yang mana merupakan kali pertama berlaku sepanjang sejarah penubuhan mereka Barbarik mengumumkan akan meneliti semula lokasi persembahan bagi acara akan datang, iaitu Pentas Barbarik Volume 2.

Ini adalah langkah proaktif bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.

“Pihak kami akan memikirkan lokasi persembahan yang baru dan akan memaklumkan kepada semua dalam masa terdekat selepas keputusan mengenai lokasi baru dibuat,” kata kenyataan itu lagi.

Kumpulan Barbarik turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah bertungkus-lumus membantu menenteramkan keadaan sepanjang konsert berlangsung.

Kenyataan itu diakhiri dengan lafaz kekecewaan, “Kami bersama anda semua – Ralat dan kecewa.”.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi ini, Odeon KL memaklumkan mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki pada masa hadapan selepas ratusan pembeli tiket terkandas di luar pintu masuk acara konsert itu.

“Kami sudah membuat persiapan terbaik demi memastikan persembahan malam ini berjalan lancar. Namun, apa yang berlaku adalah di luar jangkaan kami,” katanya.

Pihak pengurusan turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan menegaskan komitmen mereka untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.

Konsert Pentas Barbarik Live @ Odeon KL malam tadi mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat apabila sebilangan penonton gagal memasuki dewan persembahan.

Keadaan dalam dewan juga dilaporkan terlalu padat dan panas akibat masalah kekurangan pendingin hawa.

FOTO: Sukie Hj Bebit.

Komen
Loading...