Ikuti Kami:

Barbarik Cipta Magis di Zepp KL dengan Sokongan Padu Peminat

Barbarik Cipta Magis di Zepp KL dengan Sokongan Padu Peminat

Konsert Barbarik Pentas Peluru Cokelat yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur semalam mencipta malam penuh magis, dengan sokongan mantap peminat setia mereka, Rejim Barbarik.

Dihadiri 2,700 penonton, persembahan ini membuktikan hubungan istimewa antara kumpulan itu dan penyokong tegarnya.

Dalam sidang media selepas konsert, pengasas dan gitaris utama Barbarik, Jobranko mengakui bahawa kehadiran penonton dan energi yang mereka salurkan memberikan impak besar terhadap persembahan mereka.

Tanpa sokongan itu, mereka mungkin tidak mampu bertahan untuk menyampaikan keseluruhan persembahan.

“Energi penonton memberi kekuatan luar biasa kepada kami. Kalau tiada mereka, mungkin kami hanya mampu bertahan untuk beberapa lagu. Namun, kerana sokongan luar biasa mereka, kami dapat memberi yang terbaik sepanjang malam,” ujarnya.

Barbarik menyampaikan rangkaian lagu hit termasuk Nasib Baik, On My Side, dan Kasmaran Selamanya yang mengasyikkan penonton.

Segmen nostalgia Retrostika turut mencuri perhatian dengan lagu-lagu ikonik seperti Sketsa Sebuah Cinta dan Taman Rashidah Utama, diserikan petikan gitar oleh Shah Slam, Muzza, dan Ujang Tukimon, bersama iringan susunan string.

Keunikan persembahan diteruskan dengan pembacaan sajak oleh Nasir Jani sebelum lagu Satelit Puaka, serta duet istimewa bersama Karl Cromok menerusi Golok Kayu dan Jerangkung Dalam Almari.

Vokalis utama Barbarik, Muss, turut meluahkan rasa syukur dengan sokongan peminat.

“Terima kasih kepada semua yang hadir malam ini. Anda menjadikan konsert ini lebih bermakna daripada yang kami impikan. Syukur, setiap kejutan yang dirancang berjalan lancar,” katanya.

Barbarik yang dianggotai oleh Muss selaku vokalis, Jobranko di posisi gitar utama, Rozaimi selaku pemain bass dan Ainol di bahagian dram tampil dengan keyakinan baharu apabila buat julung kalinya akan mempersembahkan sepenuhnya lagu-lagu ciptaan sendiri.

Pihak penganjur, Karri Talk Production, memuji dedikasi Barbarik dalam menjayakan konsert ini.

“Tahniah kepada Barbarik atas persembahan yang luar biasa. Dari awal lagi, idea mereka untuk mencipta sesuatu yang istimewa jelas kelihatan. Selepas tiga bulan latihan intensif, semuanya berjaya dilaksanakan dengan sempurna. Konsert ini melampaui jangkaan kami,” ujar wakil penganjur.

Sebagai penghargaan terakhir, Barbarik menghadiahkan lagu tambahan, Keris Tak Bersarung, selepas konsert berakhir, meninggalkan kenangan manis kepada semua yang hadir.

Komen
Loading...