Ikuti Kami:

Barbarik Buka Tirai Odeon KL Disember Ini, Konsert Pembukaan Uji Sistem Bunyi Bertaraf Dunia!

Barbarik Buka Tirai Odeon KL Disember Ini, Konsert Pembukaan Uji Sistem Bunyi Bertaraf Dunia!

Kumpulan rock legenda tanah air, Barbarik, dipilih sebagai artis sulung yang akan memeriahkan semula pentas ikonik Odeon KL, seiring dengan fasa transformasi panggung wayang bersejarah itu menjadi pusat seni persembahan dan konsert profesional.

Konsert istimewa yang dinanti-nantikan, bertajuk Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL, dijadual berlangsung pada 12 Disember 2025.

Penganjuran bersama oleh Odeon KL dan Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd ini dilihat bukan sahaja sebagai acara pembukaan, malah sebagai ‘ujian sebenar’ terhadap kualiti sistem bunyi, akustik dan kelengkapan teknikal baharu dewan tersebut.

Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd, yang kini menguruskan Odeon KL, telah memperuntukkan dana RM6 juta untuk proses penaiktarafan menyeluruh, termasuk memasang sistem bunyi dan akustik bertaraf profesional.

Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd, Mozylir Mokhtaruddin, menyatakan pemilihan Barbarik adalah berdasarkan reputasi mereka dalam muzik ‘keras’ serta kemampuan mereka untuk menguji kelengkapan baharu secara optimum.

“Pihak penganjur tertarik untuk menjemput Barbarik sebagai artis pertama tampil membuat persembahan di Odeon KL selepas melihat aksi hebat mereka ketika membuat persembahan sebelum ini.

“Kejayaan siri konsert Peluru Cokelat dan sokongan padu komuniti Rejim Barbarik juga mengukuhkan keputusan ini,” ujar Mozylir.

Sambutan peminat terhadap konsert pembukaan ini amat luar biasa. Semua tiket dilaporkan telah habis dijual, dengan jangkaan kehadiran seramai 2,500 peminat pada malam bersejarah itu.

Ini bukan sahaja menandakan kembalinya Barbarik yang dianggotai Jo Branko, Muss, Rozaimi dan Ainol ke pentas utama ibu kota, tetapi turut mengesahkan kembalinya Odeon KL sebagai destinasi tumpuan baharu bagi peminat seni persembahan.

Projek penaiktarafan Odeon KL di Jalan Tuanku Abdul Rahman ini dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026.

Ia bakal menjadi hab acara yang merangkumi dewan konsert, ruang aktiviti, seni persembahan, dan platform kebudayaan, sekaligus menyumbang kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Komen
Loading...