Pentas Dewan Odeon KL, kembali bergegar dengan satu ‘pengisytiharan’ yang tidak boleh disangkal: kebangkitan semula semangat rock Malaysia era 90-an.
Semuanya berlaku dalam Konsert Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL pada malam Sabtu, yang bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi sebuah upacara perhimpunan yang menggamit memori manis.
Di hadapan lebih 2,000 ‘Rejim Barbarik’ yang membanjiri Dewan Odeon KL, kumpulan rock Barbarik yang diterajui oleh vokalis berkarisma, Muss, bersama JoBranko (gitar), Rozaimi (bass), dan Ainol (dram) mencatatkan sejarah tersendiri.
Vokal Muss yang tetap tajam, petikan gitar JoBranko yang bertenaga, serta ritma mantap Rozaimi, dan Ainol berjaya membuktikan bahawa muzik rock tulen tidak pernah pudar ditelan zaman.

Persembahan 18 lagu yang mantap, menampilkan hits seperti ‘Peluru Cokelat,’ ‘Nasib Baik,’ dan ‘Kasmaran Selamanya,’ bukan sahaja menyatukan ribuan peminat setia tetapi juga mencipta kejayaan luar biasa.
Malam itu memuncak dengan kemunculan tetamu istimewa yang sememangnya dinanti-nantikan, mencetuskan momen reunion penuh emosi yang menggamatkan dewan.

“Gua tak pernah jangka yang gua akan kenalkan nama ini di pentas ini,” kata JoBranko sebelum mengumumkan kemunculan semula dua sosok penting, Black (dram) dan Eddie (bass).
Gabungan empat lagenda ini, iaitu Muss dan JoBranko bersama Black dan Eddie, seakan menghidupkan semula ‘roh’ dan susunan muzik yang pernah mendefinisikan album Wings Barbarik (1994).

Kimia muzik yang terjalin antara mereka di atas pentas benar-benar memukau penonton. Lagu-lagu klasik seperti “Blues Ular Sawa,” “Hukum Karma,” dan “Opera Hidup” dipersembahkan dengan tenaga yang segar, namun kekal setia pada keaslian susunan muzik yang menjadi kegilaan peminat rock tegar.

Suasana reunion ini dilengkapkan lagi dengan penampilan cameo dari dua lagi mantan anggota Wings, Jojet, yang menyumbangkan tenaga dalam lagu ikonik “Jerangkung Dalam Almari,” dan Mel, dengan lagu “Semalam Yang Hangat” dari album Orang Asing (1995).

Detik-detik perhimpunan ini bukan sekadar hiburan; ia adalah bukti kukuh bahawa ikatan persahabatan (brotherhood) dan warisan muzik mereka kekal ‘berapi’.
Kejayaan mutlak konsert sold-out ini, yang didorong oleh sokongan padu daripada ‘Rejim Barbarik’, telah diterjemahkan kepada khabar gembira: Pentas Barbarik: Live Volume 2 dijadualkan berlangsung pada 31 Januari 2026.




