Ikuti Kami:

Bapa Mentuaku Mafia: Zahiril Adzim Galas Watak Komedi ‘Ustaz Takdir’

Bapa Mentuaku Mafia: Zahiril Adzim Galas Watak Komedi ‘Ustaz Takdir’

Pelakon berkaliber, Zahiril Adzim, sekali lagi membuktikan versatilitinya dalam dunia lakonan apabila tampil dengan imej berbeza menerusi naskhah terbaharu bertajuk Bapa Mentuaku Mafia.

Sering sinonim dengan watak-watak serius dan berat, Zahiril kali ini mencabar keupayaan dirinya dengan membawakan karakter Ustaz Takdir, seorang pendakwah muda yang mempunyai personaliti santai, easy-going dan sarat dengan unsur jenaka.

Zahiril, 42, menyifatkan watak tersebut sebagai satu kelainan yang segar dalam profil seninya, memandangkan realiti peribadinya yang jauh daripada karakter lucu.

“Saya membawakan karakter sebagai Ustaz Takdir. Cerita dan karakter ini sebenarnya lawak, tetapi hakikatnya saya seorang yang serius. Dalam hidup, saya tidak pernah buat lawak,” katanya.

Menurut Zahiril, Ustaz Takdir direka sebagai seorang tokoh agama yang tidak klise dan lebih dekat dengan realiti pendakwah zaman sekarang yang perlu bijak menyesuaikan diri untuk menarik minat golongan muda.

“Kita sering bayangkan ustaz perlu berpewatakan tertentu, tetapi Takdir berbeza. Zaman sekarang, ustaz muda membawa karakter yang lebih dekat dengan anak muda agar pengisian yang disampaikan lebih mudah diterima.

“Saya harap dapat menggalas watak ini dengan baik, apatah lagi dalam drama ini, bapa mentua saya merupakan seorang mafia,” katanya lagi.

Drama yang diarahkan oleh Afiza Asram ini mengisahkan tentang Takdir, seorang ustaz bertauliah yang terpaksa akur apabila dipaksa oleh seorang ketua mafia, Zack (lakonan Dato’ Razak Ahmad) untuk mengahwini anaknya, Melissa (Siti Hariesa).

Tujuan Zack hanyalah satu, iaitu mahukan Takdir membimbing dan mengubah kehidupan keluarga mereka ke arah jalan yang lebih baik.

Selain Zahiril, Siti Hariesa dan Dato’ Razak Ahmad, drama ini turut membariskan pelakon handalan lain seperti Auni Yusri, Nafiez Zaidi, Shweta Shekon, Aishah Atan dan Haeriyanto Hassan.

Dalam pada itu, ketika disoal mengenai babak-babak spontan atau ‘latah’ yang mungkin berlaku di set penggambaran, pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik ini sempat berseloroh menafikan dakwaan tersebut.

“Saya tidak melatah. Itu semua hanyalah hikayat rakyat dan dongeng semata-mata. Jangan percaya, walaupun ada bukti kukuh, itu tetap dongeng,” katanya sambil tertawa.

Bapa Mentuaku Mafia bakal menemui penonton mulai 13 Mei 2026, setiap hari Rabu dan Khamis, jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria.