Banjir: Khairul Aming Fokuskan Bantuan Barang, Tidak Ambil Sumbangan Derma – “Pinn Yang Dah Beri Sumbangan Besar”
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Usahawan selebriti, Khairul Aming, baru-baru ini menegaskan melalui Instagram Story bahawa beliau tidak akan menerima sumbangan berbentuk wang atau derma kewangan bagi usaha bantuan banjir di Kelantan.
Menurutnya, keputusan ini diambil kerana membuka tabung derma memerlukan permit khas, dan beliau khuatir tidak dapat menguruskan amanah dana dengan sempurna.
Sebagai alternatif, Khairul Aming menggalakkan orang ramai untuk menyumbangkan barangan keperluan di lokasi drop-off yang telah disediakan.
Khairul Aming atau nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman, 32 turut berterima kasih kepada masyarakat atas sokongan luar biasa terhadap usahanya ini, termasuk bantuan besar daripada Pinn Yang, pempengaruh yang juga usahawan terkenal.
Pinn Yang, yang dikenali dengan konten kemasyarakatan di tiktok, telah menyumbangkan dana besar kepada Khairul Aming untuk usaha bantuan ini untuk membantu mangsa banjir.
“Kita akan guna duit ini dahulu untuk mangsa-mangsa banjir,” katanya, sambil menambah bahawa beliau secara peribadi akan menanggung keperluan kewangan lain untuk bantuan ini.
Antara barangan yang diperlukan termasuk makanan berbungkus atau dalam tin, pakaian, produk kebersihan seperti pad sanitari, kain sarung, roti, biskut, mi segera, dan keperluan asas lain. Beliau turut meminta agar masakan panas tidak dihantar kerana risiko basi.
Hari ini, Khairul Aming bersama pasukannya berada di lokasi drop-off di Nasi Berlauk Sudin Kubis, Sri Cemerlang, Kota Bharu, dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang.
Mereka akan menyusun barangan sebelum diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir. Selain itu, sukarelawan untuk membungkus barangan dan kenderaan pacuan empat roda diperlukan untuk menghantar bantuan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Inisiatif ini terus mendapat sambutan hangat, dengan Team Sudin menyediakan makanan untuk 1,000 pax dan sebuah lori besar barangan dihantar kepada mangsa banjir. Khairul Aming meluahkan rasa terharu melihat sokongan masyarakat terhadap usaha ini.
Bagi mereka yang ingin membantu, barangan boleh dihantar terus ke lokasi drop-off yang telah ditetapkan, dan mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan dialu-alukan hadir.
Setakat hari ini, jumlah mangsa banjir di sembilan negeri terus meningkat kepada 140,492 orang daripada 42,329 keluarga yang ditempatkan di 713 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 3 petang.