Bangi Farm Resort Angkat Durian ke Pentas Antarabangsa, Pelopor Agro-Pelancongan Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Bangi Farm Resort memperkukuh reputasinya sebagai peneraju agro pelancongan durian apabila berjaya mengangkat buah ikonik Malaysia ke persada antarabangsa melalui gabungan strategi inovatif antara Bangi Golf Resort, Bangi Resort Hotel dan Bangi Farm Resort Sdn Bhd.
Ladang moden seluas 650 ekar yang diuruskan BFR menawarkan pengalaman menyeluruh “dari ladang ke meja makan” bagi para tetamu hotel lima bintang.
Menurut Pengarah Eksekutif Bangi Resort Hotel, Soh Chung Ky, kebanyakan orang membayangkan durian hanya sesuai dinikmati di meja plastik tepi jalan, tetapi pihaknya mahu mengubah persepsi itu dengan mewujudkan suasana mewah dan terkawal.
Rakan kongsi projek ini, Tan Ban Keat, bekas eksekutif telekomunikasi yang kini menceburi pertanian, berkata beliau dan Soh benar benar mendalami setiap aspek industri durian.
“Kami tidak sekadar menganjur pesta makan atau pasang khemah sementara. Kami membangunkan ekosistem lengkap, ladang, pusat penyelidikan, festival dan restoran lima bintang,” ujarnya.
Pada 14 Julai 2019, resort ini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Hotel & Resort Lima Bintang Mesra Durian Pertama di Malaysia, penerimaan anugerah yang disaksikan Menteri Besar Selangor, YAB Tuan Amirudin Shari.
Sejak 2018, Bangi Farm Resort menganjurkan Festival & Anugerah Durian pertama negara termasuk World Durian Championship Malaysia Edition, pertandingan pemotongan profesional, larian bertema durian dan seminar saintifik.
Pada tahun berikutnya mereka membuka Pusat Penyelidikan Durian pertama Malaysia untuk meningkatkan kualiti buah melalui kajian terperinci.
Antara inisiatif lestari yang diketengahkan adalah Farm Cube, struktur tiga tingkat kontena kitar semula yang menempatkan gerai makanan, pusat rasa dan ruang pendidikan, serta kitar semula sisa makanan hotel untuk pemberian makan larva lalat tentera hitam bagi penternakan ikan.
Meskipun pandemik COVID-19 mencabar industri pelancongan, Bangi Farm Resort cepat beralih kepada produk sedia masak beku dan memperluas rangkaian hasil ladang ke restoran sekitar Lembah Klang, memastikan kesinambungan operasi dan membuka pasaran baharu.
Kini model agro pelancongan durian mereka diiktiraf sebagai contoh kejayaan inovasi, kelestarian dan hospitaliti premium.