Banduan: Aaron Aziz, Rosyam Nor, Afdlin Shauki, & Zul Ariffin Hidupkan Aksi Adaptasi Filem Box Office India
- oleh MDaily Editor
- 5 Nov 2025 3:13 pm
Filem aksi yang dinanti-nantikan tahun ini, Banduan, adaptasi daripada filem pecah panggung India terkenal Kaithi, bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 6 November ini.
Menampilkan gandingan mantap pelakon berbakat besar tanah air Dato’ Aaron Aziz, Dato’ Rosyam Nor, Dato’ Afdlin Shauki dan Zul Ariffin, filem ini menjanjikan pengalaman sinematik yang penuh emosi, aksi dan nilai kemanusiaan, dengan pendekatan yang segar serta berbeza daripada versi asal.
Diarahkan oleh Kroll Azry dan diterbitkan oleh Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures, Banduan turut mendapat sokongan Astro Shaw sebagai rakan pemasaran dan pengedaran.

Menurut Penerbit Eksekutif Filem Banduan, Kalyana Devan, Kaithi dipilih untuk diadaptasi kerana jalan ceritanya bersifat universal dan menyentuh emosi kemanusiaan.
“Kami mahu mengekalkan semangat asal Kaithi, tetapi dengan jiwa dan warna tempatan. Banduan bukan sekadar filem aksi, tetapi kisah tentang kasih sayang, pengorbanan dan peluang kedua dalam hidup.”
“Kami berharap Banduan bukan sahaja diterima baik oleh penonton tempatan, malah menjadi jambatan antara industri perfileman India dan Malaysia,” katanya di Malam Gala Banduan yang berlangsung di TGV Suria KLCC, malam tadi.
Sementara itu, Dato’ Aaron Aziz yang membawakan watak utama berkata beliau berterima kasih atas peluang yang diberikan dan bangga dapat membawa semangat filem ini ke layar Malaysia.

“Yang pertama sekali, saya bersyukur kepada Allah kerana memberi peluang ini dan terima kasih kepada penerbit kerana mempercayai saya. Ketika kami jalani penggambaran, kami tahu ia remake, jadi ada batasan tertentu yang perlu dijaga.
“Namun, Alhamdulillah, dengan kerjasama semua pihak, setiap idea daripada penerbit, pelakon dan pengarah dihargai.
“Watak Dali ini sangat istimewa. Dia boleh jadi jahat, boleh jadi baik, boleh berdepan sepuluh orang jahat tapi bila nak berdepan dengan anak sendiri, dia menggigil.
“Itu keindahan watak ini. Saya harap bila filem ini ditayangkan di luar negara, orang tahu Malaysia juga mampu hasilkan karya berkualiti tinggi,” katanya.
Pelakon Zul Ariffin yang turut membintangi Banduan menyifatkan penglibatannya sebagai satu penghormatan besar.

“Saya terlibat dalam projek ini sebab penerbit datang dengan idea asal yang menarik. Bila saya tahu siapa pelakonnya, saya rasa rugi kalau lepaskan peluang ini.
“Walaupun peranan saya tak panjang, pengalaman di set dan suasana lokap cukup beri impak untuk saya faham watak dan jalan ceritanya,” ujarnya.
Lebih istimewa, malam tayangan perdana itu turut diserikan dengan kehadiran Karthi Sivakumar, bintang utama versi asal Kaithi, yang diterbangkan khas dari India bagi meraikan pelancaran adaptasi Malaysia ini.

Filem Banduan mengisahkan Dali, seorang bekas banduan yang baru dibebaskan selepas 10 tahun penjara dengan satu hasrat untuk bertemu semula anak perempuannya buat pertama kali.
Namun, perjalanan itu berubah menjadi misi berbahaya apabila dia terperangkap dalam operasi menyelamat sekumpulan anggota polis yang diracun dan dijadikan tebusan oleh kumpulan samseng.
Filem ini turut dibintangi oleh Adlin Aman Ramlie, Fadli Masoot, Hushairi Husain, Amir Nafis, Esma Daniel, Abi Madyan, Hawra, Dayang Areeda, Joshua Michael, Zairi Abdul Aziz dan Meynillan.
Saksikan filem aksi penuh emosi dan adrenalin, Banduan di pawagam seluruh negara bermula 6 November 2025.




