Ikuti Kami:

Bandi Amuk Teguh Dengan Identiti Bertopeng: “Kesilapan Besar Jika Saya Buka”

Bandi Amuk Teguh Dengan Identiti Bertopeng: “Kesilapan Besar Jika Saya Buka”

Bandi Amuk, vokalis utama kumpulan rock Amuk, menegaskan bahawa identiti bertopeng yang dibawanya sejak awal karier adalah satu perjuangan yang tidak akan dikompromi, walaupun pernah menerima kritikan daripada sesetengah pihak.

Bandi berkongsi bahawa imej bertopeng ini bukan sekadar gaya, tetapi merupakan lambang perjuangan dan identiti kumpulan Amuk.

Bagi Bandi, topeng bukan sekadar aksesori, tetapi jiwa dan semangat Amuk.

“Mereka kata, ‘Bang, umur abang dah berapa, takkan nak pakai topeng lagi.’ Tapi bagi saya, membuka topeng adalah kesilapan terbesar yang saya boleh buat,”

“Hidup ini satu sahaja. Kita kena hormat orang dan teruskan perjuangan dengan karakter yang kita bawa,” katanya.

Sejak awal kemunculan, Bandi menghadapi pelbagai cabaran, termasuk diharamkan membuat persembahan di Melaka selama empat tahun.

“Saya hanya mampu melalui Melaka tanpa berhenti. Empat tahun saya kena banned,”

“Sekarang orang dah faham, kalau nampak topeng, itu Amuk. Saya bersyukur jadi antara yang pertama memperjuangkan konsep ini,” katanya, menceritakan liku-liku perjalanan Amuk dalam industri muzik.

Bandi turut menjelaskan bahawa topeng yang digunakannya tidak boleh dimiliki sebarangan orang.

“Ramai tanya nak beli topeng saya, tapi saya cakap ini adalah benda privasi. Saya pakai topeng untuk kerja, bukan untuk main-main,” katanya sambil berseloroh bahawa topeng tidak sesuai digunakan untuk tujuan harian seperti ke bank.

Beliau juga berkongsi kisah bagaimana peminat generasi ketiga Amuk, termasuk di Sabah, sangat menghargai imej ini.

“Ada yang datang bersama ibu bapa mereka, mereka hargai perjuangan Amuk. Saya rasa sangat tersentuh,” katanya.

Foto Oleh: Subky Hj Bebit.

Bandi ditemui media semasa sidang media Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Bandi turut menyeru peminat untuk hadir ke konsert Cromok vs Amuk pada 26 April di Arena N9, Negeri Sembilan, sambil berjanji memberikan yang terbaik.

“Ada yang dari Tawau sudah beli tiket. InsyaAllah, saya akan berikan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Konsert yang dianjurkan oleh YNS Event Management ini bukan sahaja menyaksikan kolaborasi epik antara dua kumpulan rock dan metal terkenal Malaysia, Cromok dan Amuk malah turut menjadi persembahan pertama yang berlangsung di N9 Arena, Nilai selepas melalui proses naik taraf.

Harga tiket bermula RM118 sehingga RM488 boleh dibeli di laman n9arena.ubertickets.asia.

Komen
Loading...