Penyanyi dan pelakon terkenal, Nabila Razali membuktikan kematangannya sebagai anak seni apabila tampil dengan single terbaharu berjudul “#BalasBaik”, yang bukan sahaja membawa bunyi pop moden, malah sarat dengan mesej kemanusiaan dan ketenangan jiwa.
Karya ini menjadi simbol perjalanan baharu buat Nabila selepas beberapa tahun menyepi daripada meluncurkan karya solo, menandakan transformasi dirinya daripada figura pop manja kepada seorang artis wanita yang matang, berjiwa besar dan lebih yakin dengan hala tuju seni sendiri.
Menggabungkan elemen pop moden berinspirasikan trap, lagu ini mengetengahkan tema penyembuhan, keikhlasan dan kekuatan dalaman, menjadikannya karya reflektif yang mencerminkan kematangan peribadi dan kerohanian Nabila.
“Lagu ini mengingatkan saya bahawa ketenangan datang bila kita tidak membalas keburukan dengan kebencian, tetapi dengan hati yang ikhlas dan tenang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran di Dewan Platinum Melati, Kolej Kediaman Melati, Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada Rabu.

Lagu ini hasil kolaborasi antara Nabila Razali Entertainment dan Sony Music Malaysia, dengan kerjasama Malika Entertainment & Management, “#BalasBaik” merupakan ciptaan Audi Mok dan Shazee Ishak, serta diterbitkan oleh PSTN.
Antara bait lirik yang mencuri perhatian ialah “Buat jahat jahat, balas baik”, menggambarkan mesej positif tentang keberanian untuk memaafkan dan berdamai dengan masa lalu.
“Membalas dengan baik bukan tanda lemah, tapi tanda jiwa yang besar. Itu sebenarnya kuasa sebenar ketenangan,”
“Saya dah sampai fasa di mana saya tak perlu marah untuk tahu siapa yang benar. Kadang cukup dengan senyuman untuk kita jaga diri dan tenaga sendiri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa karya ini mencerminkan keinginannya untuk memperkukuh identiti sebagai wanita berhijab yang berani membawa muzik pop moden dengan caranya tersendiri.
“Saya nak buktikan bahawa wanita berhijab pun boleh bawakan muzik pop moden dengan gaya tersendiri. Hijab bukan batas, tapi inspirasi,”
“Saya harap lagu ini menjadi peringatan bahawa kebaikan tidak pernah ketinggalan zaman. Dunia boleh keras, tapi bila kita kekal lembut dan kuat pada masa yang sama, itulah keindahan sebenar seorang insan,” katanya.

Majlis yang berlangsung penuh meriah itu turut dihadiri ratusan peminat setia Nabila Razali, yang datang dari pelbagai negeri bagi meraikan pelancaran karya baharu idolanya.
Sebagai penghargaan kepada peminat, Nabila turut menyanyikan beberapa lagu popularnya termasuk “Peluang Kedua”, yang membuat seluruh dewan bergema apabila peminat turut sama menyanyi bersamanya.
Bagi menghangatkan lagi pelancaran single ini, Nabila Razali turut bakal menjayakan siri “#BalasBaik Promo Tour” di beberapa lokasi seluruh negara bermula 1 hingga 28 November 2025, seperti berikut:
1 November: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka
2 November: Pasar Seni, Kuala Lumpur
7 November: Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah
8 November: Jom Heboh, Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang
15 November: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak
28 November: SELBIZ, Shah Alam Convention Centre, Selangor
Jelajah Promosi anjuran Nabila Razali Entertainment dengan sokongan Sony Music Malaysia ini memberi peluang kepada peminat untuk berinteraksi lebih dekat dengan artis kesayangan mereka dalam suasana santai dan inspiratif.
Single “#BalasBaik” boleh distrim di semua platform digital utama mulai 31 Oktober 2025.




