Balan Kash: ‘Cekap’ Dedikasi Saya Buat Tanah Air Tercinta
- oleh Mohd Indera
- 21 Aug 2025 12:17 pm

Penyanyi rap dan penulis lirik tanah air, Balan Kash, melancarkan video muzik (MV) terbaharunya berjudul Cekap sempena sambutan bulan kemerdekaan, yang disifatkannya sebagai dedikasi kepada tanah air tercinta.
Menurut Balan Kash, karya berkenaan bukan sekadar sebuah lagu hiburan, sebaliknya lahir daripada pengalaman peribadi beliau dibesarkan di Klang dalam masyarakat majmuk yang penuh warna-warni dan mengajarnya erti perpaduan.
“Cekap bukan hanya sebuah lagu, tetapi cerminan semangat Malaysia yang saya bawa sejak kecil. Sebagai rakyat Malaysia, kita semua mempunyai kisah berbeza tetapi berkongsi semangat yang sama. Lagu ini adalah cara saya meraikan kebebasan, kepelbagaian dan kekuatan apabila kita bersatu,” katanya.
Lagu Cekap yang juga judul album penuh pertamanya dalam bahasa Melayu, menampilkan gabungan hip-hop moden dengan muzik klasik India dan elemen tradisional Malaysia.
Istilah “cekap” dalam slang tempatan membawa makna “tajam” atau “on-point”, melambangkan keyakinan dalam menyuarakan sesuatu yang dekat di hati rakyat.
MV arahan Kinggolddigga pula memaparkan naratif visual tentang identiti dan penyatuan, termasuk adegan Dikir Barat sebagai simbol tradisi, pusat derma darah sebagai metafora perkongsian nilai sesama rakyat, serta babak “Circle of Unity” di mana individu berbilang kaum mencelup tangan ke dalam cat merah untuk membentuk lingkaran identiti bersama.
“Darah kita tetap sama, merah. Itulah asas perpaduan yang saya mahu orang rasa bila menonton MV ini,” tambahnya.
Karya ini turut dihasilkan melalui sokongan Dana Kebolehan Pasaran (Domestik 2.0) – Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik di bawah MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM).
MV rasmi Cekap kini boleh ditonton melalui saluran YouTube rasmi Balan Kash, yang menggabungkan elemen hip-hop, tradisi serta semangat perpaduan sebagai hadiah istimewa sempena Hari Kebangsaan.