‘Balada Tengkujuh’ Umar Uzair, Lagu Sarat Emosi dan Keindahan Alam
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Penyanyi dan penulis lagu Umar Uzair kembali mencuri perhatian dengan karya terbaharunya, Balada Tengkujuh. Lagu yang membawa elemen kepuisian ini bukan sekadar sebuah gubahan muzik, tetapi juga cerminan emosi serta keindahan alam yang mengiringi musim tengkujuh.
Dicipta oleh Umar Uzair sendiri, dengan melodi yang digubah oleh Maman Teacher’s Pet – individu di sebalik karya ikonik Layar Lara dan Kasih Ku Pinjam Wajahmu – serta alunan seruling memukau oleh maestro Mohar, Balada Tengkujuh memberikan pengalaman muzik yang mendalam kepada pendengar.
Mengangkat tema musim tengkujuh, lagu ini menggambarkan suasana pantai yang dilambung ombak tinggi, membawa pendengar menyelami perasaan kerinduan dan harapan yang terkandung dalam bait-bait liriknya.
Lebih daripada sekadar menggambarkan fenomena alam, Balada Tengkujuh turut menyentuh jiwa dengan naratif perasaan seseorang terhadap kenangan dan impian yang belum tergapai.
“Sukar untuk menemukan sebuah lagu bercitra Nusantara dengan suntikan elemen moden, tetapi setelah diperdengarkan oleh abang Maman, saya rasa ini adalah muzik yang saya cari. Ia masih mengekalkan identiti keNusantaraan walaupun bernafas segar,” kata Umar Uzair.
Meskipun lagu-lagu puisi sering dianggap sebagai niche dalam industri muzik arus perdana, Umar Uzair tetap yakin bahawa genre ini mempunyai kekuatan tersendiri.
“Lagu-lagu kepuisian saya sering dipersembahkan dalam acara penting, baik dalam mahupun luar negara. Karya-karya hebat seperti Abiet G Ade, Dato’ M. Nasir, dan Maman Teacher’s Pet membuktikan muzik seperti ini tetap mempunyai ruang dalam hati pendengar,” tambahnya.
Beliau turut berharap Balada Tengkujuh akan memberikan ketenangan kepada sesiapa yang mendengarnya.
“Saya percaya kita sudah terlalu sibuk dengan urusan seharian. Saya ingin menghasilkan lagu yang mendamaikan dan mampu bertahan dalam ingatan khalayak dalam jangka masa panjang.” katanya.
Lagu ini kini boleh didengari di semua platform digital terpilih sejak 25 Januari 2025.
Ia juga akan dilancarkan secara rasmi sempena Hari Puisi Sedunia 2025 di Pavilion Bukit Jalil dari 21 hingga 23 Februari.
Lebih membanggakan, Balada Tengkujuh turut terpilih untuk dipersembahkan dalam 12th International Film & Poetry Festival di Athens, Greece, pada 18 dan 19 April 2025, membawa muzik dan kepuisian Nusantara ke peringkat global.