
Bakat baharu industri muzik tempatan, Nazu, 20, mengorak langkah penuh keyakinan apabila melancarkan single sulung berjudul Kopi, sekali gus berjanji untuk membawa kelainan dalam setiap karya yang dihasilkan.
Artis di bawah naungan Sony Music Malaysia itu berkata, dia mahu dikenali sebagai penyanyi yang mempunyai karakter tersendiri, tidak hanya mengikut trend semasa.
Nazu atau nama sebenarnya Nor Azureen Saharin mula mendapat perhatian selepas video TikTok nyanyiannya bagi lagu Masa mencatat lebih sejuta tontonan dalam seminggu sekaligus membuka pintu rezeki untuknya menandatangani kontrak bersama Sony Music Malaysia.
“Bila video itu viral, saya jadi lebih yakin untuk berkongsi muzik sendiri. Sony Music memberi kepercayaan dan peluang yang saya tak sangka akan datang seawal ini,”
“Saya mahu muzik saya ada jiwa dan identiti. Kopi adalah langkah pertama untuk memperkenalkan siapa saya sebenarnya,”katanya.
Mengangkat tema cinta santai berlatarkan suasana kafe, Kopi mengisahkan gadis pemalu yang gemar berangan, sebelum berkenalan dengan seorang lelaki.
Single ini mendapat sentuhan penerbit terkenal Ezra Kong serta kolaborasi dengan Fahimi, penyanyi dan kreator kandungan yang turut menyumbang vokal dan lirik yang diselitkan unsur humor seperti “suka matcha atau suka kopi, kalau pilih kopi, baik kopi-lih aku”.
“Saya suka cipta lirik yang buat orang tersenyum, jadi saya masukkan sedikit ‘pick-up line’ dalam lagu ini,”
“Ezra banyak membimbing saya dalam susunan muzik dan pemilihan lirik, manakala Fahimi membantu saya membina keyakinan di studio. Pengalaman ini sangat berharga,” kata Nazu.
Hanya memerlukan dua sesi rakaman untuk menyiapkan lagu ini, Nazu mengakui masih dalam proses mencari arah muzik yang tepat, namun tekad untuk terus bereksperimen demi membina identiti.
“Saya tak mahu terikat pada satu genre sahaja. Yang penting, setiap lagu yang saya hasilkan ada keaslian dan cerita yang dekat di hati,” katanya.
Nazu berharap Kopi, yang kini boleh didengar di Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music, dapat menjadi lagu yang memberi rasa tenang dan senyuman kepada pendengar.
“Kalau tengah gembira, sedih atau sedang jatuh hati, saya harap Kopi boleh jadi teman pendengar,” katanya.