Bakal Lancar ‘Dendang Raya’, Marsha Milan Dekati Peminat di AFFIN Universe Anniversary Showcase
- oleh MDaily Editor
- 7 Feb 2026 6:12 pm
Penyanyi vokal lantang, Marsha Milan Londoh, memilih platform AFFIN Universe Anniversary Showcase di MITEC untuk mendekati peminat setianya, selain berkongsi khabar gembira mengenai naskhah terbaharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Muncul mempesonakan di pentas pameran gaya hidup tersebut, Marsha mendedahkan beliau kini dalam fasa akhir persiapan untuk melancarkan lagu raya terbaharu berjudul ‘Dendang Raya’ bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini.

”Alhamdulillah, lagu raya itu sebenarnya dalam persiapan untuk disiapkan sepenuhnya. Malah, tajuknya pun baru saja diputuskan iaitu ‘Dendang Raya’.
”Jika tiada aral melintang, kami merancang untuk melancarkannya pada penghujung Februari atau awal Mac depan bagi memberi ruang kepada peminat merasai ‘mood’ perayaan lebih awal,” katanya ketika ditemui di Dewan 9, MITEC, di sini, hari ini.
Selain keterujaan mengenai lagu raya, penyanyi yang popular dengan lagu Kembali Terang itu turut memberi bayangan mengenai penghasilan album studio yang kini sudah mencapai tahap 40 peratus siap.
Mengulas mengenai perjalanan seni yang kini memasuki tahun ke-21, Marsha tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan konsert solo selepas menerima beberapa ‘risikan’ daripada pihak tertentu.
”Memang ada pihak yang merisik untuk penganjuran konsert solo tahun ini. Saya rasa tahun ke-21 adalah waktu yang sangat manis jika ia dapat direalisasikan.
Bagaimanapun, seperti kata orang, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan,” jelasnya lagi.

Kehadiran Marsha di AFFIN Universe Anniversary Showcase menjadi antara tarikan utama acara dua hari itu yang turut menampilkan barisan bintang popular lain seperti Hael Husaini dan Marsha Milan, selain pelbagai zon gaya hidup bertema merangkumi automotif, fesyen dan makanan.
Program yang berlangsung sehingga esok (8 Februari) bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu turut menyediakan pelbagai aktiviti interaktif dan segmen bicara santai bersama selebriti jemputan eksklusif.




