Ikuti Kami:

“Bakal Kekasih” – Pengakuan Jujur Amir Masdi Tentang Cinta Pertama

“Bakal Kekasih” – Pengakuan Jujur Amir Masdi Tentang Cinta Pertama

Buat julung kalinya, penyanyi berbakat besar Amir Masdi tampil secara terbuka meluahkan sisi paling peribadi dalam hidupnya, perasaan cinta pertama menerusi single terbaharu berjudul Bakal Kekasih.

Lagu yang sarat emosi dan berinspirasikan kisah sebenar hati Amir itu bukan sahaja mencerminkan kejujuran beliau terhadap cinta, malah memperkenalkan sisi baharunya dalam genre rock and roll.

“Saya tulis lagu ini sebagai satu luahan hati. Ia mengenai perasaan apabila mula suka seseorang tetapi Cikgu Edry (Edry Abdul Halim) cadangkan untuk pergi lebih dalam, daripada sekadar suka kepada keinginan menjadikan dia pasangan hidup.

“Saya rasa ramai boleh kaitkan dengan situasi ini, tak kira bujang atau dah berkahwin. Semua orang pernah rasa detik cinta pertama,” ujar Amir, 29, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi.

Lagu Bakal Kekasih merupakan hasil kolaborasi Amir bersama komposer tersohor Edry Abdul Halim dan menjadi single keempat daripada album A.M P.M (Side A.M) selepas Nur Cinta, Calar, dan Langit Biru.

Lebih menarik, lagu ini menandakan kemunculan pertama Amir dalam genre rock and roll, genre yang memberi ruang kepadanya untuk mengekspresikan diri secara lebih bebas dan berani.

“Ini adalah lagu pertama rock and roll saya. Sebenarnya saya dah tulis lama, sejak selepas PKP tapi tersimpan saja dalam telefon.

“Bila saya mula kerja album saya teringat lagu ni dan terus kongsi dengan Cikgu Edry. Dia kata ‘This is a good tune.’ Dengan bantuannya, lahirlah Bakal Kekasih,” jelas Amir.

Lagu ini turut membawa mesej universal tentang keberanian menyatakan rasa suka. Menurut Amir, ia boleh menjadi “wakil suara” buat mereka yang menyimpan perasaan terhadap seseorang tetapi tidak tahu cara meluahkan.

“Kalau ada yang malu atau tak berani nak cakap terus, boleh guna lagu ni. Ia lagu yang ringan, menyeronokkan dan sangat ‘direct’,” katanya sambil ketawa.

Menambah keistimewaan, muzik video Bakal Kekasih dirakam di sebuah restoran retro di Manchester, United Kingdom dengan konsep ‘teenage vibes’ ala High School Musical.

“Saya nak tonjolkan suasana ceria dan penuh tenaga. Muzik video ni memang saya bayangkan untuk buat orang senyum bila tengok,” kata Amir.

Dengan gabungan kisah peribadi, elemen klasik dan gaya rock and roll yang segar, Bakal Kekasih dijangka mengubat rindu peminat terhadap lagu cinta yang jujur dan tulus.

“Saya harap lagu ini beri kesan kepada peminat dan membuka ruang baru dalam perjalanan muzik saya,” katanya mengakhiri bicara.

Single Bakal Kekasih kini boleh distrim di semua platform digital manakala muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube AR United Music.

Komen
Loading...