Bahagia Bersama Joshua: Siti Saleha Akhirnya Umum Pertunangan
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Pelakon popular Siti Saleha kini mendedahkan telah bertunang dengan teman lelakinya, Joshua Fitton, yang juga seorang pereka fesyen, selepas hampir dua tahun menjalinkan hubungan cinta.
Siti Saleha, atau nama penuhnya Siti Saleha Mohd Baharum, 34, berkongsi berita gembira itu ketika menghadiri acara Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) di ibu kota baru-baru ini.
“Kami sudah bersedia untuk mengumumkan bahawa kami sudah bertunang,” kata Saleha.
Joshua pula tanpa berselindung menyatakan yang mereka kini bergelar tunangan. “Kami terbuka untuk memberitahu yang kami sudah bertunang,” ujarnya sambil ketawa.
Pada Disember 2022, Siti Saleha memperkenalkan Joshua sebagai kekasihnya kepada umum, yang ketika itu baru dikenali sebagai pereka fesyen.
Sebelum ini, Saleha dilaporkan mengambil pendekatan tenang dan tidak mahu tergesa-gesa merancang perkahwinan semula, sebaliknya masih dalam proses mengenali Joshua dengan lebih mendalam.
Siti Saleha sebelum ini pernah berkahwin dengan Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017, namun perkahwinan tersebut hanya bertahan selama empat tahun.