Ikuti Kami:

Bagaikan Jatuh Ditimpa Tangga: Selepas Kematian Suami, Ibu Tunggal Pasrah Dua Anak Maut Langgar Tong Roro

Bagaikan Jatuh Ditimpa Tangga: Selepas Kematian Suami, Ibu Tunggal Pasrah Dua Anak Maut Langgar Tong Roro

MELAKA: Dalam satu tragedi yang menyayat hati, Norizan Ujak, 40, seorang ibu tunggal, mengalami dugaan yang amat berat apabila dia kehilangan dua anaknya dalam kemalangan di Jalan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) dekat Stadium Hang Jebat.

“Kejadian berlaku depan mata dan saya hanya mampu menjerit Ya Allah anak, melihatkan anak tidak dapat elak dan melanggar tong sampah (roro) yang menutupi lorong motosikal,” katanya seperti yang di laporkan Berita Harian.

Dalam insiden yang berlaku pada jam 6.15 petang itu, anak sulungnya, Muhammad Amirul Hazlin, 18, dan anak bongsunya, Nur Afiqa Sofea, lima tahun, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan parah.

Norizan mengakui kehilangan dua anaknya adalah satu ujian yang amat berat, terutama selepas kehilangan suaminya, Hazlin Hassan, yang meninggal dunia pada November tahun lalu akibat kencing manis dan serangan jantung pada usia 44 tahun.

Ketika kejadian, Muhammad Amirul menunggang motosikal dengan Nur Afiqa dibonceng, menuju ke pusara arwah ayah mereka di Bertam Ulu, sementara Norizan mengikuti dari belakang dengan motosikal lain.

“Jalan itu memang kami lalu hari-hari. Lepas ziarah kubur, kami cadang makan malam di kedai kerana Along (Muhammad Amirul) tiada selera kerana baru baik demam dan teringin nak makan di kedai,” tambahnya.

Norizan meluahkan rasa kesal terhadap pihak kontraktor yang dilihat tidak peka dengan aspek keselamatan di lokasi kerja, termasuk meletakkan kon hampir dengan tong sampah terbabit.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Kecemasan apabila puluhan ahli keluarga berkumpul menunggu kedua-dua mangsa, yang jenazahnya akan disembahyangkan di Masjid Bertam Ulu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu.

Komen
Loading...