Ikuti Kami:

BADAK Tawarkan Sesuatu Yang ‘Fresh’ Berbanding Filem Lain – Shaheizy Sam

BADAK Tawarkan Sesuatu Yang ‘Fresh’ Berbanding Filem Lain – Shaheizy Sam

Foto oleh: Faeez Hilmy Ismail.

Pelakon popular, Shaheizy Sam, menyifatkan filem terbarunya BADAK sebagai projek yang lain daripada biasa kerana memberi peluang kepadanya mencuba cabaran baharu.

Sam berkata, walaupun sudah membintangi banyak filem, naskhah ini membuka ruang untuknya melakukan sesuatu yang lebih segar.

“Saya suka cabaran. Untuk dapatkan cabaran tu, kena ada benda yang baru. Saya dah buat banyak filem dekat Malaysia, tapi jarang dapat sesuatu yang betul-betul fresh. Selalunya ulang benda sama.

“Tapi kali ini saya nampak peluang bekerjasama dengan orang muda yang berani buat benda baru. Itu yang buat saya tertarik,” katanya di malam gala dan sidang media BADAK yang telah berlangsung di GSC Mid Valley Megamall, semalam.

Dalam BADAK, Sam memegang watak seorang bapa tunggal yang pekak dan membesarkan anak perempuannya sambil mengusahakan gerai burger. Hidup mereka berubah apabila bakat hip-hop si anak mula tular.

Pengarah filem ini, M. Raihan Halim, berkata idea cerita datang daripada pengalamannya sendiri yang susah meluahkan perasaan.

“Saya ambil emosi itu dan beri kepada watak seorang bapa yang tidak bersuara. Ia cabaran besar untuk menzahirkan perasaan,” jelasnya.

BADAK turut dibintangi Aida Amron, Wan Hanafi Su dan Kahoe Hon dan kemunculan istimewa penyanyi rap negara, Joe Flizzow.

Menariknya, BADAK turut menampilkan runut bunyi segar yang memadukan elemen hip-hop dengan emosi kekeluargaan, menjadikannya pengalaman menonton yang bukan sahaja penuh perasaan, malah relevan dengan jiwa penonton masa kini.

Filem ini dipersembahkan oleh Clover Films Pte Ltd, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd, dan Papahan Films, dengan kerjasama Sinemart, Juita Viden, One Tree, Act 2 Pictures dan Dropkick, serta disokong oleh Singapore Film Commission.

Filem ini diedarkan oleh GSC Movies dan akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 2 Oktober 2025.

Komen
Loading...