‘Back To You’ Terjemah Evolusi Seni, Spiritual Maher Zain
- oleh MDaily Editor
- 2 May 2026 7:04 pm
Ikon muzik global, Maher Zain, kembali mewarnai industri muzik antarabangsa dengan pelancaran album studio terbaharunya berjudul ‘Back To You’, yang menyalin evolusi seni dan kematangan spiritual beliau sepanjang sedekad yang lalu.
Album terbitan Awakening Music itu merupakan album studio penuh pertama Maher Zain dalam tempoh 10 tahun, selepas kejayaan siri karya berimpak besar sebelum ini seperti ‘Rahmatun Lil’Alameen’ dan ‘Qalbi Fil Madinah’.
Mengandungi 16 buah lagu, ‘Back To You’ memaparkan transisi seni penyanyi itu melalui gabungan penulisan lirik dalam bahasa Arab dan Inggeris, selain menyuntik elemen muzik pelbagai budaya termasuk pengaruh ritma dari Afrika dan Afrika Utara.
Maher Zain dalam satu kenyataan berkata, pemilihan tajuk album tersebut membawa makna yang mendalam tentang perjalanan seorang hamba kembali kepada fitrah dan penciptanya.
“Album ini dinamakan ‘Back To You’ kerana pada dasarnya ia adalah tentang kembali kepada Tuhan, kepada keikhlasan, kepada tujuan hidup, dan kepada perkara yang benar-benar penting.
“Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, saya berkembang dari sudut peribadi dan spiritual, dan projek ini mencerminkan perjalanan tersebut. Saya mahu muziknya terasa jujur, penuh renungan dan relevan,” katanya.

Projek mega ini turut menyaksikan kolaborasi kreatif merentas sempadan apabila proses pembikinannya melibatkan kem penulisan lagu antarabangsa di Maghribi, Turki, Sweden, dan Indonesia.
Ia turut menampilkan kerjasama dengan artis Harris J serta rakan kolaborasi setianya, Bara Kherigi.
Menariknya, pelancaran album ini tidak dilakukan secara konvensional, sebaliknya diperkenalkan menerusi pelan pelancaran berfasa yang disusun selari dengan perjalanan spiritual bulan Ramadan.
Strategi yang bermula sejak penghujung Januari itu menyaksikan sebuah lagu baharu dilancarkan pada setiap hari Khamis, bagi membolehkan pendengar menghayati setiap naskhah sebagai satu momen refleksi sebelum album penuh dilancarkan secara rasmi pada awal April 2026.
Sementara itu, Pengarah Urusan Awakening Music, Bara Kherigi berkata, pendekatan pelancaran secara berfasa itu diambil bagi memberi ruang dan penghormatan kepada setiap lagu yang dihasilkan.
“Daripada tergesa-gesa, kami membentuk ‘Back To You’ sebagai satu perjalanan yang berkembang minggu demi minggu sepanjang Ramadan, memberi makna dan kehadiran jiwa yang lebih mendalam kepada pendengar,” tambah beliau.
Album penuh ‘Back To You’ kini boleh didapati di semua platform digital utama di seluruh dunia, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Maher Zain sebagai antara suara paling berpengaruh dalam genre muzik berunsurkan ketuhanan masa kini.
