B.I Kembali Gegar Pentas Malaysia Dalam Jelajah ‘The Last Parade’ 21 September Ini
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Peminat muzik K-pop tanah air bakal disajikan dengan persembahan penuh bertenaga apabila bintang solo popular Korea Selatan, B.I kembali ke Malaysia sempena konsert jelajah terbaharunya, 2025 B.I TOUR: The Last Parade Tour in Kuala Lumpur.
Konsert yang dinanti-nantikan itu akan berlangsung pada 21 September (Ahad), jam 7 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, anjuran Lo-Fi Entertainment.
Menjanjikan persembahan memukau dan penguasaan pentas luar biasa, B.I bakal mempersembahkan lagu-lagu daripada album studio terbaharunya bertajuk Wonderland, yang mengandungi 11 lagu dan menerima sambutan hangat sejak pelancarannya.
Selain lagu-lagu daripada Wonderland, peminat juga berpeluang menikmati seleksi karya popular daripada album terdahulu seperti Waterfall dan To Die For, serta EP Love or Loved Part.1 dan Love or Loved Part.2.
B.I atau nama sebenarnya Kim Han-bin, telah mencipta nama sebagai artis solo sejak 2021 di bawah label miliknya, 131, dan terus meraih kejayaan menerusi jelajah dunia serta penampilan dalam festival muzik antarabangsa seperti Lollapalooza dan Rolling Loud.
Antara kolaborasi lagu popular beliau termasuk bersama Heize (Ferris Wheel), Woosung dari The Rose (Happy Alone), Destiny Rogers dan Tyla Yaweh (Got It Like That), Bipolar Sunshine dan Afgan (Lost at Sea), Jessi (Die for Love), serta Soulja Boy dan DeVita menerusi lagu hit BTBT.
Tiket akan mula dijual pada Jumaat, 13 Jun 2025, jam 12 tengah hari menerusi laman rasmi www.ticketingtix.com, dengan harga bermula daripada RM358 hingga RM888, tertakluk kepada caj pemprosesan RM4.
Setiap kategori tiket hadir bersama pelbagai faedah peminat seperti sesi ‘soundcheck’, ‘foto berkumpulan’, barangan eksklusif dan poster bertandatangan, bergantung kepada pilihan kategori.
Konsert ini pastinya menjadi detik istimewa buat peminat B.I yang dikenali sebagai ID (Be Identity), sebagai peluang keemasan untuk menyaksikan aksi idola mereka secara langsung di pentas tempatan.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari www.ticketingtix.com.