Ikuti Kami:

Aznan Alias, JoBranko & Kid Search Bakal Warnai Konsert ‘The Grand Slam Unplugged 2’

Aznan Alias, JoBranko & Kid Search Bakal Warnai Konsert ‘The Grand Slam Unplugged 2’

Konsert berskala besar, ‘The Grand Slam Unplugged 2’ yang bakal berlangsung di Megastar Arena pada 20 Jun depan, akan diperhebatkan lagi dengan kehadiran tiga figura gitaris legenda tanah air iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search.

Kehadiran tiga pemuzik ikonik ini disifatkan sebagai pelengkap kepada momen epik yang ingin dicipta semula oleh kumpulan Slam, selepas edisi perdana konsert unplugged tersebut melakar sejarah tersendiri dalam industri muzik tempatan kira-kira dua dekad lalu.

Gitaris utama Slam, Shah berkata, penglibatan Aznan, JoBranko dan Kid adalah sebagai tanda apresiasi terhadap hubungan silaturahmi sesama pemuzik serta sumbangan besar mereka dalam membentuk identiti muzik ‘masterpiece’ di Malaysia.

“The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah keraian lagu-lagu Slam yang kekal relevan dari era kaset sehingga penstriman. Kami menjemput mereka kerana mereka adalah individu yang sangat sinonim dengan pembikinan karya-karya hebat dalam industri kita.

“Ini bukan sekadar konsert ulang tayang, tetapi satu bungkusan baharu yang lebih kaya dengan nilai seni,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan disini, semalam.

Sementara itu, Aznan Alias yang juga Pengarah Muzik berpengalaman menyifatkan jemputan tersebut sebagai satu penghormatan besar memandangkan beliau menganggap Slam sebagai wajah sebenar genre Pop Melayu.

Bagi JoBranko pula, keterlibatannya dalam projek mega itu adalah lambang semangat setiakawan yang utuh, manakala Kid Search menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai bukti muzik mampu menyatukan pemuzik meskipun daripada latar belakang genre yang berbeza.

Dalam pada itu, pemain dram Slam, Osman Khalid mendedahkan bahawa sambutan terhadap konsert tersebut amat luar biasa apabila sebanyak 70 peratus tiket telah terjual sejak dilancarkan pada 13 Februari lalu.

“Kategori tiket PS3 dan PS4 sudah pun habis dijual (sold out). Kami sangat terharu dengan sokongan peminat yang masih setia dan kami berjanji akan memberikan persembahan yang akan menjadi memori indah buat semua yang hadir,” katanya.

Konsert ‘The Grand Slam Unplugged 2’ dijadualkan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

Peminat boleh mendapatkan baki tiket yang masih ada menerusi laman web rasmi www.ilassotickets.com/thegrandslamunplugged2.