Azlan Typewriter & Muzza Hidupkan Blood Brothers dengan Lagu Tema “Bara Jiwa”
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Lagu rock balada berjudul “Bara Jiwa” nyanyian duet Azlan Typewriter dan Muzza VELVETTONES kini menjadi tumpuan apabila diumumkan sebagai lagu tema rasmi bagi filem aksi tempatan paling dinanti tahun ini, Blood Brothers: Bara Naga.
Gandingan dua nama besar dalam muzik tempatan itu dilihat berjaya mengangkat emosi dan jiwa penceritaan filem arahan Abhilash Chandra dan Syafiq Yusof, yang membawakan naratif dunia pengawal peribadi elit yang sarat dengan konflik, pengkhianatan dan persaudaraan yang diuji.
Dibintangi oleh pelakon ternama seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson dan ramai lagi, Blood Brothers: Bara Naga menampilkan watak Ariff (lakonan Syafiq Kyle), seorang pengawal peribadi yang difitnah dan terpaksa menjejaki semula abangnya, Jaki (Syazwan Zulkifly), demi membersihkan namanya.
Dalam misi tersebut, Ariff turut diburu oleh bekas sahabat karibnya sendiri, Ghaz (Sharnaaz Ahmad), ketua pasukan Blood Brothers, yang membawa kepada konflik dalaman yang menggoncang jiwa.
Lagu “Bara Jiwa” menggambarkan semangat perjuangan dan pergolakan emosi dalam filem ini dengan lirik dan melodi yang puitis serta dramatik.
Kor lagu seperti “Bara… Jiwa… Menyala…” menjadi simbol semangat membara dan keteguhan hati para watak yang enggan tunduk dalam menghadapi ujian.
Menurut Azlan Typewriter, projek ini merupakan antara kolaborasi paling menarik pernah disertainya.
“Sudah lama saya tidak berduet dengan penyanyi lelaki, dan Muzza membawa satu energi yang sangat segar. Kami tahu bahagian masing-masing dengan jelas dan proses rakaman hanya ambil masa sekitar sejam,” katanya.
Azlan turut memuji kualiti produksi lagu yang dianggap bertaraf tinggi dan berharap “Bara Jiwa” mampu mengangkat semula genre rock dalam arus perdana.
Bagi Muzza, yang juga komposer dan produser lagu ini, “Bara Jiwa” merupakan karya yang dibina sepenuhnya berdasarkan jiwa dan emosi filem.
“Saya benar-benar ambil masa untuk fahami watak dan tema filem. Lagu ini lahir dari konflik dalaman, pengorbanan dan semangat persaudaraan yang menjadi nadi cerita,” ujar Muzza yang turut memuji komitmen Azlan dalam menjayakan projek ini.
Dari aspek muzik, Muzza memilih pendekatan rock balada dengan elemen sinematik yang seiring dengan mood serta intensiti naratif filem.
Proses pembikinan mengambil masa kira-kira dua bulan, merangkumi penulisan lirik, susunan muzik, rakaman vokal, serta proses mixing dan mastering yang teliti.
Sejak dilancarkan, “Bara Jiwa” mencetuskan fenomena tersendiri di platform TikTok dengan lebih 2.4 juta tontonan, sekali gus membuktikan penerimaan positif daripada peminat.
Ramai pengguna menggunakan lagu ini sebagai latar untuk momen dramatik, semangat dan inspirasi.
Kini, “Bara Jiwa” boleh didengari di semua platform penstriman digital utama. Lirik video rasmi yang menampilkan babak-babak eksklusif daripada filem turut dilancarkan pada 14 Mac 2025.
Dengan kolaborasi mantap antara dua figura muzik ini dan kekuatan naratif sinematik, “Bara Jiwa” bukan sekadar lagu tema, tetapi nadi emosi yang menghidupkan Blood Brothers: Bara Naga.