Ikuti Kami:

Azizan Osman, AC Mizal Turun Padang Raikan Iftar Bersama Komuniti Masjid Jamek

Azizan Osman, AC Mizal Turun Padang Raikan Iftar Bersama Komuniti Masjid Jamek

Suasana iftar di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini, bertukar ceria apabila dua personaliti ternama, pakar mentor perniagaan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman dan selebriti serba boleh, Dato’ AC Mizal, turun padang menyantuni jemaah serta golongan asnaf, kelmarin.

​Kehadiran mereka bukan sekadar memenuhi jemputan, sebaliknya bagi melihat sendiri kelancaran program agihan makanan yang diusahakan oleh penganjur utama, Puan Linda, yang juga merupakan individu penting di sebalik misi kebajikan di bawah

​Pengasas RichWorks Group Holdings Berhad, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, penglibatan beliau dalam projek amal itu sudah menjangkau lebih sedekad, namun tahun ini beliau memutuskan untuk melipatgandakan sumbangan memandangkan keperluan komuniti bandar yang semakin mencabar.

​”Secara rasminya ini tahun kedua kami di Masjid Jamek, namun kerjasama dengan Puan Linda dalam projek kebajikan sudah melebihi 10 tahun, bermula dari misi di Kemboja lagi. Tahun ini, kita buat penambahan bajet hampir RM2 juta untuk keseluruhan bulan Ramadan bagi memberi makan kepada kira-kira 5,000 orang sehari di pelbagai lokasi.

​”Saya sendiri pernah melalui hidup susah dan tahu bagaimana rasanya apabila orang memberi kita makan. Jadi, apabila ada rezeki lebih, saya mahu kongsi kebahagiaan itu. Walaupun sibuk, saya infakkan masa untuk memastikan projek ini berjalan lancar menerusi pasukan yang luar biasa,” katanya ketika ditemui media.

​Bagi edisi kali ini, Masjid Jamek dipilih kerana lokasinya yang strategik namun dikelilingi komuniti yang memerlukan termasuk golongan asnaf, pelajar, musafir, serta gelandangan yang sering menghadapi kesukaran mendapatkan juadah berbuka yang sempurna.

​Sementara itu, Dato’ AC Mizal yang turut hadir memberi sokongan menyifatkan usaha tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa kerana kualiti hidangan yang disediakan adalah bertaraf hotel buat golongan yang kurang bernasib baik.

​”Bila ada kolaborasi antara Datuk Wira dan Puan Linda, kita dapat lihat hasilnya hari ini. Ramai yang mungkin hanya nampak dari jauh atau sekadar memberi komen, tetapi hari ini depan mata saya sendiri, beratus-ratus orang mendapat manfaat.

​”Saya sangat gembira dapat terlibat sama dengan mentor saya dalam program sebegini. Inilah masanya untuk kita memberi semula kepada masyarakat tanpa perlu mengharapkan pujian,” ujar beliau.

​Penganjur program, Puan Linda pula menjelaskan bahawa tahun ini pihak mereka menyediakan antara 400 hingga 600 paket makanan sehari di Masjid Jamek, malah pernah mencecah 1,000 paket untuk diagihkan ke lokasi lain seperti Masjid Jamek Kampung Baru dan kawasan PPR.

​”Keunikan tahun ini, kita tidak menggunakan bungkusan biasa sebaliknya menghidangkan secara ‘buffet’ menggunakan bahan-bahan berkualiti dan kuih-muih artisan. Kita mahu mereka yang hadir rasa dihargai.

​”Alhamdulillah, Datuk Wira adalah ‘pillar’ paling kuat dalam projek ini. Walaupun ada hari saya menangis kerana risau bekalan tidak cukup, namun keajaiban berlaku apabila Allah hantar lebih daripada apa yang kita pesan,” katanya.

​Selain di ibu kota, misi kebajikan RichWell turut meliputi kawasan di Melaka, Kedah, serta misi antarabangsa di Indonesia, Yaman, Arab Saudi, Afrika dan Kemboja.

Loading...