Filem seram tempatan terus mendapat sambutan apabila syarikat produksi dari Sarawak, Faradale Media-M Sdn. Bhd., tampil dengan karya baharu berjudul Azimat. Filem ini menggabungkan elemen mistik Iban dan kisah emosi manusia dalam satu jalan cerita penuh misteri.
Filem arahan Kay Rezza Karim ini mengangkat tema kepercayaan, trauma dan nasib manusia yang mencari harapan selepas melalui kesusahan hidup.
Kay Rezza Karim, pengarah dan penerbit Azimat, berkata idea menghasilkan filem itu tercetus sejak tahun 2019 hasil perbincangan bersama dua rakan penulis yang tertarik dengan persoalan bagaimana kepercayaan dan trauma boleh mempengaruhi kehidupan seseorang.
“Kami mahu menghasilkan cerita seram yang bukan sekadar menakutkan, tetapi juga menyelami sisi emosi dan konflik dalaman manusia. Azimat membawa mesej tentang bagaimana kepercayaan yang berlebihan terhadap sesuatu boleh menjerat diri,” katanya.

Menariknya, Azimat menampilkan barisan pelakon muda berbakat dari Sarawak yang membawa nafas segar ke layar perfileman tempatan.
Watak utama Hanna dilakonkan oleh Dee Dee Aine Peter yang memikul tanggungjawab besar sebagai teraju utama, manakala Heidi Abbyana memainkan peranan sebagai sahabat karibnya, Jasmine.
Turut membintangi filem ini ialah Fadzril Afandy sebagai Dr. Roger Tiong dan Rushdi Mornie Daud yang membawa watak misteri Encik Bonsu, selain sokongan pelakon berpengalaman seperti Siti Sabariah Shaari dan Lucy Anak Lenjong.
Menurut Kay Rezza, filem ini menampilkan kelainan apabila keseluruhan pembikinannya melibatkan tenaga produksi dan pelakon anak jati Sarawak, selain penggunaan tiga bahasa iaitu Melayu Sarawak, Iban dan Inggeris bagi menonjolkan keaslian tempatan.
“Kami mahu menonjolkan Sarawak bukan sahaja sebagai lokasi pelancongan, tetapi juga sebagai pusat penghasilan karya seni berkualiti. Sebab itu penggambaran dilakukan sepenuhnya di Kuching yang kaya dengan nilai budaya dan visual sinematik,” jelasnya.
Walaupun jalan ceritanya bersifat fiksyen, Kay Rezza mendedahkan bahawa kisah dalam Azimat turut diinspirasikan daripada kejadian-kejadian benar yang sering berlaku dalam masyarakat, khususnya berkaitan kepercayaan terhadap azimat dan kuasa ghaib.
“Ia diinspirasikan daripada kisah-kisah benar yang kami dengar dan alami sendiri. Malah, sepanjang penggambaran selama 37 hari, kru turut berdepan beberapa kejadian aneh seperti gangguan peralatan dan bunyi-bunyi misteri,” katanya.
Filem ini mengisahkan tentang Hanna, seorang wanita yang dihantui trauma masa lalu, percaya seutas rantai azimat mampu mengubah nasib malangnya selepas berjumpa dengan seorang bomoh Iban. Namun, di sebalik keajaiban yang dijanjikan, tersembunyi sumpahan gelap yang mula menghantui jiwanya hingga membawa kepada kehancuran diri.
Filem Azimat dijadual menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 November 2025.




