Ikuti Kami:

Ayu Damit dan Emeer Bakri Hidupkan Luka Cinta dalam “Cukup Kita”

Ayu Damit dan Emeer Bakri Hidupkan Luka Cinta dalam “Cukup Kita”

Luka cinta, kekecewaan, dan harapan yang tersisa kini dihidupkan dengan penuh emosi melalui lagu Cukup Kita, hasil kolaborasi dua penyanyi berbakat, Ayu Damit dan Emeer Bakri.

Balada moden ini menjadi runut bunyi rasmi (OST) untuk drama emosional slot Akasia TV3, Calon Isteri Buat Suami.

Mengalir dalam setiap bait lirik dan lenggok vokal, Cukup Kita menyentuh tentang setia yang dikhianati dan janji yang tidak ditepati.

Dengan gabungan balada moden, string sinematik dan harmoni vokal yang padu, lagu ini bukan sekadar pelengkap drama, tetapi menjadi suara kepada hati-hati yang pernah terluka dalam percintaan.

Idea untuk lagu ini lahir daripada Amsyar Sabri dan Emeer Bakri sendiri, yang terinspirasi selepas mendengar lagu-lagu pop balada Inggeris.

Menyedari kurangnya genre sebegitu dalam pasaran tempatan, mereka menghasilkan Cukup Kita dengan sentuhan yang lebih dekat dengan jiwa pendengar Malaysia.

“Keunikan Cukup Kita terletak pada gabungan balada dan elemen rock di bahagian bridge. Ia mewakili ledakan emosi dalam hubungan yang retak. Proses ciptaan melodi dan demo hanya mengambil masa sehari, manakala keseluruhan lagu disiapkan dalam tempoh dua minggu. Apa yang lebih istimewa, saya berpeluang berganding dengan Kak Ayu, legenda dengan kekuatan vokal yang luar biasa,” ujar Emeer Bakri.

Bagi Ayu Damit, Cukup Kita merupakan karya istimewa yang sarat dengan emosi, menjadikan ia antara rakaman paling bermakna sepanjang kariernya.

“Emeer sangat kreatif dan proses rakaman berjalan dengan lancar. Lagu ini benar-benar menggabungkan kekuatan vokal kami dalam menyampaikan rasa luka dan perpisahan yang masih membekas,” katanya yang hanya memerlukan dua sesi rakaman untuk menyempurnakan lagu ini.

Drama Calon Isteri Buat Suami yang mula bersiaran pada 8 April lalu turut menampilkan perjalanan cinta penuh cabaran antara Nazim dan Haizi.

Lirik Cukup Kita dikatakan banyak dipengaruhi oleh dilema yang dihadapi watak-watak ini, menjadikan lagu ini lebih berkesan kepada para penonton yang mengikuti kisah mereka.

“Bila cinta tak lagi cukup untuk mempertahankan segalanya, maka lepaskanlah walau hati masih berharap” – itulah denyut rasa yang dilontarkan melalui Cukup Kita, sebuah balada luka cinta yang pasti mengusik jiwa.

Strim lagu Cukup Kita kini di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube dan banyak lagi.

Komen
Loading...