Ayu Damit Akui Cabaran “Malam Laguan Puisi” Tingkatkan Kemampuan Seni
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu

Penyanyi Ayu Damit mengakui konsert Malam Laguan Puisi yang akan berlangsung 8 Februari depan bukan sahaja mencabar, malah memberikan ruang untuk beliau meningkatkan kefahaman terhadap seni puisi dan lagu yang berlainan daripada kebiasaan.
Ayu yang kini melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam program Asasi Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) melihat pengalaman ini sebagai satu peluang untuk meneroka seni yang lebih mendalam.
Ayu, atau nama penuhnya Norayu binti Damit, mengakui bahawa lagu-lagu yang dipersembahkan dalam acara ini memerlukan pemahaman mendalam terhadap lirik terlebih dahulu sebelum melodi.
“Biasanya saya belajar melodi dahulu, baru lirik. Tapi kali ini, saya kena faham lirik dulu. Ia penting supaya kita boleh menyampaikan mesej lagu dengan betul,” katanya.
Ayu ditemui media di sidang media Malam Laguan Puisi di Sentul,Kuala Lumpur pada Selasa.
Berkongsi lanjut, Ayu juga menghadapi cabaran mempelajari dua lagu solo yang belum pernah didengarnya sebelum ini.
“Isi lagu ini mendalam. Saya kena baca, hafal, dan memahami makna setiap patah perkataan sebelum dapat menyampaikan lagu dengan penuh penghayatan,”
“Di ASWARA, cikgu-cikgu banyak memberikan panduan untuk meluahkan emosi dalam persembahan saya,”
“Ia bukan sekadar menyanyi, tetapi juga memahami seni kata dan budaya di sebalik lagu-lagu ini. Ini adalah sesuatu yang sangat berharga bagi saya,” katanya.
Ayu berharap persembahan seperti Malam Laguan Puisi dapat menarik minat generasi muda untuk menghargai seni muzik tradisional dan puisi.
“Anak-anak muda di ASWARA, contohnya, menunjukkan bakat luar biasa dalam mengolah lagu-lagu lama dengan cara yang unik. Ia memberi harapan bahawa seni seperti ini tidak akan hilang ditelan zaman,” katanya.
Ayu menekankan kepentingan mendalami seni untuk memberikan persembahan terbaik.
“Seni bukan sekadar hiburan, ia adalah ekspresi jiwa. Kita perlu menghormati dan memahami setiap elemen untuk benar-benar menyentuh hati pendengar,” katanya.
Selain Ayu, Malam Laguan Puisi juga menampilkan Aqasha, Azizul Haqim, Leisme serta pendeklamasi syair daripada Persatuan Deklamator Malaysia seperti Shukri Abdullah, Intan Nor Saina, Azree Arifin, Ayudez Zuraina dan Wan Yusof.
Acara ini bakal menampilkan sebanyak 10 lagu puisi, termasuk karya agung Sasterawan Negara seperti Datuk Seri A. Samad Said, Dato’ Usman Awang, Datuk Dr Zurinah Hassan, Dato’ Baha Zain, Dato’ Rahman Shaari dan Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh.
Orang ramai dijemput hadir untuk menikmati gabungan keindahan muzik dan puisi dalam satu malam penuh nostalgia dan seni.
Konsert ini akan berlangsung pada 8 Februari 2025 di PANGGUNG EKSPERIMEN, ASWARA, Kuala Lumpur.
Harga tiket bermula RM30 (Pelajar) dan RM 80 (Biasa), boleh didapati di pautan ini.