Awie Janji Kejutan Di Konsert Orang Kita, Pertaruh 4 Lagu Baharu
- oleh MDaily Editor
- 24 Jan 2026 12:27 am
Kumpulan rock legenda, Wings, menjanjikan satu persembahan yang penuh bertenaga dan luar biasa menerusi konsert Orang Kita yang bakal berlangsung di Zepp KL, pada 30 Januari ini.
Vokalisnya, Dato’ Awie berkata, selain rangkaian lagu-lagu hits yang menjadi siulan peminat sejak empat dekad lalu, konsert kali ini akan menjadi medan buat Wings mempertaruhkan empat buah lagu baharu daripada album akan datang mereka.
Lagu-lagu berkenaan yang bertajuk Burung 7, Khalifa 4, Yes I Know, dan Sanggup Kasih bakal dipersembahkan secara langsung buat julung kalinya bagi memberi peluang kepada peminat merasai hala tuju muzik terbaharu kumpulan itu.
”Kita akan bawakan lagu-lagu baharu ini sebagai pengenalan kepada album terbaharu kami nanti. Walaupun ada sentuhan muzik yang lebih segar dan elemen Nusantara seperti elemen Jawa, kami tetap tidak meninggalkan ‘kesan’ besar Wings yang lama.
”Lagu-lagu ini adalah satu kenyataan (statement) bahawa umur hanyalah angka. Walaupun ada yang mencabar vokal, saya terima cabaran itu untuk membuktikan kualiti muzik kami tetap di tahap terbaik,” katanya ketika ditemui dalam satu sesi temu bual selepas sesi latihan, semalam.

Mengulas mengenai persiapan konsert, Awie mendedahkan beliau lebih selesa mengekalkan elemen spontan di atas pentas berbanding bergantung kepada skrip yang disusun rapi.
Menurutnya, peminat yang hadir perlu bersedia untuk menyaksikan beberapa ‘gimmick’ dan kejutan yang hanya akan berlaku pada malam persembahan tersebut.
”Saya selalunya buat spontan sahaja. Saya tidak ada skrip, hanya ada ‘point’ terima kasih. Yang lain itu, saya ‘tabur’ secara segera di atas pentas. Itulah keunikan Wings, kita mahu interaksi yang jujur dengan peminat,” jelasnya lagi.
Walaupun berdepan sedikit gangguan kesihatan baru-baru ini akibat keletihan dan masalah perut, Awie mengesahkan persiapan konsert kini sudah mencapai tahap 85 peratus.
”Alhamdulillah, latihan berjalan lancar bersama ahli-ahli lain. Walaupun ada masa saya rasa lembik dan pening, namun semangat untuk bertemu peminat di Zepp KL mengatasi segalanya. Kami akan pastikan durasi konsert selama dua jam setengah itu dipenuhi dengan kualiti bunyi dan persembahan yang berbaloi,” katanya.
Konsert Orang Kita di Zepp KL ini dijangka bakal menggamit memori peminat tegar Wings, selain menjadi penanda aras buat pengeluaran album fizikal dalam bentuk kotak premium (box set) yang sedang dalam perancangan mereka tidak lama lagi.
Tiket boleh didapati di https://rpm.ubertickets.asia




