Ikuti Kami:

Avenue K Jadi Lokasi Pertama Carousel & Co

Avenue K Jadi Lokasi Pertama Carousel & Co

Landskap hiburan dan gaya hidup di ibu kota bakal berwajah baharu dengan pengenalan konsep ‘hiburan sosial’ (social entertainment) pertama di Malaysia melalui pembukaan premis Carousel & Co. di Avenue K, Disember ini.

Dibawa khas oleh peneraju permainan kemahiran global, HB Leisure (HBL), pusat hiburan sehenti itu menggabungkan elemen permainan karnival, ruang santai minuman dan pengalaman kulinari premium di bawah satu bumbung.

Terletak di aras bumbung (rooftop) pusat beli-belah Avenue K yang menghadap pemandangan ikonik bandar raya, Carousel & Co. memperkenalkan trend global yang dikenali sebagai ‘sosialisasi kompetitif’.

Konsep ini menggalakkan interaksi kumpulan melalui cabaran permainan kemahiran berskala besar dalam suasana yang diinspirasikan daripada zaman kegemilangan karnival (fairground).

Ketua Konsep Baharu HBL, Greg Pearn, berkata pengenalan Carousel & Co. adalah respons kepada perubahan minat masyarakat Malaysia yang kini lebih cenderung kepada pengalaman interaktif berbanding sekadar makan malam atau aktiviti santai biasa.

“Kami mahu menghidupkan semula nostalgia karnival tetapi dalam versi moden untuk golongan dewasa di mana permainan lebih besar, pilihan koktel lebih berani dan suasana lebih meriah.

“Menerusi warisan HBL selama 100 tahun dalam industri hiburan berasaskan kemahiran, kami menggabungkan kepakaran tersebut dengan permintaan warga Kuala Lumpur yang mendahagakan pengalaman berkualiti dan menyeronokkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara tarikan utama di Carousel & Co. termasuklah versi moden permainan kemahiran klasik seperti Down-The-Clown, Skeeball dan Basketball yang dilengkapi sistem skor digital bersepadu. Ini membolehkan pengunjung bersaing secara sihat dengan rakan-rakan atau rakan sekerja dalam waktu sebenar.

Rekaan ruang premis ini juga disasarkan untuk mengukuhkan hubungan sosial, menjadikannya lokasi ideal untuk acara korporat, perjumpaan sosial atau sekadar tempat melepak selepas waktu bekerja.

Pearn menambah, pemilihan Avenue K sebagai lokasi perdana adalah sangat strategik kerana kedudukannya di jantung Kuala Lumpur yang mempunyai akses terus kepada LRT KLCC dan kawasan pejabat serta hotel terkemuka.

“Avenue K adalah lokasi yang sempurna bagi kami. Ia menjadi titik pertemuan antara golongan profesional, pembeli-belah dan pelancong. Kami yakin Carousel & Co. akan menjadi destinasi tumpuan baharu di sini,” tambahnya.

Pembukaan ini turut menandakan langkah awal HBL untuk memperluas jenama Carousel & Co. ke peringkat serantau, dengan perbincangan francais global kini sedang giat dijalankan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pembukaan dan tempahan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di carouselandco.com.

Komen
Loading...