Avenged Sevenfold Kembali Gegar Kuala Lumpur September Ini
- oleh MDaily Editor
- 31 Mar 2026 1:34 pm
Selepas 11 tahun menanti, peminat muzik heavy metal di Malaysia akhirnya bakal disajikan dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan legenda dunia, Avenged Sevenfold (A7X).
Kumpulan ikonik yang mempelopori genre metal moden itu mengesahkan Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi utama dalam siri Jelajah Asia 2026 mereka menerusi konsert yang diberi nama ‘Avenged Sevenfold Live in Malaysia’.
Konsert berskala besar itu dijadualkan berlangsung di Unifi Arena (dahulunya dikenali sebagai Axiata Arena), Bukit Jalil pada 26 September 2026.
Dianjurkan oleh penganjur terkemuka, Hitman Solutions, kepulangan A7X ke tanah air bukan sekadar sebuah konsert, malah merupakan satu misi memenuhi impian ribuan peminat setia atau ‘Deathbats’ yang merindui aksi mereka sejak kali terakhir muncul di sini pada 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata, pemilihan Avenged Sevenfold dibuat berdasarkan permintaan luar biasa yang diterima daripada peminat tempatan di platform media sosial.
“Setiap kali kami memuat naik ‘teaser’ baru, nama Avenged Sevenfold adalah yang paling kerap disebut. Kami menerima ribuan mesej dan komen yang bertanya bila mereka akan kembali.
“Memastikan Kuala Lumpur tersenarai dalam jelajah kali ini bukanlah satu tugas mudah, namun kami yakin segala usaha ini akan berbaloi apabila melihat Unifi Arena dipenuhi peminat pada September ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak ditubuhkan pada 1999, kumpulan yang popular dengan lagu-lagu seperti Nightmare, Hail to the King, dan Afterlife ini telah mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam sejarah rock antarabangsa.
Selain membawakan lagu-lagu hit lama, peminat juga bakal dihidangkan dengan material baharu daripada dua album terbaharu mereka, The Stage dan Life Is But a Dream… yang mendapat pujian meluas pengkritik muzik global.
Bagi yang tidak mahu terlepas peluang, tiket akan mula dijual melalui dua fasa di laman web www.hitmanlive.com:
– Pra-Jualan Artis: 7 April 2026 (Jam 11:00 pagi)
– Jualan Umum: 8 April 2026 (Jam 12:00 tengah hari)
Harga tiket ditawarkan mengikut lima kategori tempat duduk bermula dari RM299 sehingga RM699, manakala kategori berdiri Rockzone dijual pada harga RM499.
Konsert ini turut mendapat sokongan daripada rakan radio rasmi Hitz FM, Sinar FM, dan Mix FM, serta Astro Gempak sebagai rakan media rasmi.




