Avaris Studio Pertaruh Kisah Merentas Masa, ‘Jam Misteri Atuk’ Rai Nostalgia Raya
- oleh MDaily Editor
- 14 Mar 2026 1:34 pm
Menyuntik kelainan dalam naratif penceritaan Aidilfitri tahun ini, Avaris Studio tampil mempertaruhkan filem pendek terbaharu berjudul Jam Misteri Atuk.
Karya ini bukan sekadar naskhah raya biasa, sebaliknya menggabungkan elemen misteri merentas masa yang sarat dengan mesej penghargaan terhadap kasih sayang.
Diarahkan oleh Ali Irman Bahrudden, filem ini menampilkan barisan pelakon berkaliber seperti Azhar Amir, Aleza Shadan, Syafiq Dharma, Wafariena Roslan, Kiky Hannah, dan Aidern Shafiy.
Mengambil latar suasana kampung di Hulu Langat, Selangor, Jam Misteri Atuk mengisahkan kerinduan seorang cucu terhadap arwah datuknya.
Plot berkembang apabila sebuah jam tangan lama secara misteri membawanya kembali ke masa lalu, sekali gus memberi peluang kedua untuk memahami erti sebenar menghargai setiap detik bersama insan tersayang.

Menurut pengarahnya, Ali Irman, idea asal naskhah ini adalah refleksi kepada realiti kehidupan dan pengalaman peribadinya dalam mendepani kehilangan.
“Saya selitkan pengalaman peribadi tentang bagaimana kita cuba menerima takdir dan meneruskan kehidupan walaupun kehilangan itu amat perit. Selain elemen misteri, kami turut mengetengahkan nostalgia tradisi seperti penyediaan ketupat yang kini semakin jarang dilakukan generasi muda,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon Syafiq Dharma mengakui penggambaran filem ini memberi kesan emosi yang mendalam buat dirinya.
Ujar Syafiq, terdapat babak yang menuntutnya untuk menangis secara semula jadi kerana teringatkan arwah bapanya, pelakon veteran Allahyarham Dharma Harun Al Rashid yang meninggal dunia pada November tahun lalu.
“Emosi itu datang sendiri kerana saya benar-benar merindui saat bersama arwah bapa. Filem ini adalah peringatan besar buat kita semua untuk menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada,” jelasnya.
Meskipun berdepan cabaran cuaca hujan lebat sepanjang dua hari penggambaran, proses produksi berjaya diselesaikan dengan jayanya.
Selepas mengadakan tayangan perdana eksklusif di 10Stars Cinemas Hextar World, Empire City Mall pada 13 Mac lalu, orang ramai kini boleh menonton Jam Misteri Atuk menerusi saluran YouTube rasmi Avaris Studio MY dan bakal menyusul di saluran Awesome TV.




