Aurelia Syaharani Tampil Dengan Debut Single ‘Mungkin Hanya Kamu’
- oleh Mohd Indera
- 7 hari lalu

Penyanyi muda berbakat, Aurelia Syaharani, kini secara rasmi memulakan langkah pertamanya dalam dunia muzik dengan pelancaran single debut bertajuk Mungkin Hanya Kamu. Lagu ini dilancarkan pada 9 Mei 2025 di bawah label Universal Music Indonesia.
Aurelia, yang lahir di Jember pada 13 Januari 2007, datang dari keluarga pemuzik. Bakat nyanyiannya mula terserlah sejak kecil. Dengan suara yang merdu dan gaya penyampaian yang menyentuh hati, dia kini menjadi perhatian ramai sebagai penyanyi baharu yang menjanjikan masa depan cerah.
Lagu Mungkin Hanya Kamu menceritakan kisah cinta remaja yang berakhir. Salah seorang sudah move on dengan orang baharu tetapi seorang lagi masih teringat dan percaya hanya dia yang paling memahami. Lagu ini penuh emosi tentang rindu, sedih dan susah untuk melepaskan seseorang.
Aurelia turut menulis lagu ini bersama Clara Riva dan Tintin (Martinus Layardo).
“Saya sangat gembira dapat tulis lagu ini. Ramai remaja mesti boleh faham dan rasa apa yang saya cuba sampaikan,” kata Aurelia.
Walaupun liriknya sedih, lagu ini disusun dengan muzik yang segar dan sedikit rancak. Penerbit lagu ini ialah ABRAM dan Tintin yang membantu memastikan lagu ini sesuai dengan suara dan gaya Aurelia.
“Saya suka sangat dengan hasil akhir lagu ini. Muziknya seronok didengar dan sesuai dengan suara saya,” ujar Aurelia.
Selain versi audio, lagu ini juga mempunyai video muzik yang diarahkan oleh Benny Lim. Dalam video itu Aurelia menunjukkan bakat lakonannya. Dia membawa watak gadis yang kecewa dengan sangat baik.
“Penggambaran sangat seronok. Saya cuba betul-betul fahami watak supaya orang yang pernah putus cinta boleh rasa emosi lagu ini,” katanya.
Sebelum ini Aurelia pernah keluarkan dua lagu indie dan buat beberapa video cover lagu popular di media sosial. Salah satu yang paling popular ialah cover lagu Bukan Untukku nyanyian kakaknya Tiara Andini. Suara Aurelia yang unik membuat ramai netizen memujinya.
“Bila saya ditawarkan untuk sertai Universal Music Indonesia saya sangat teruja. Ini impian saya sejak kecil,”
“Saya harap lagu Mungkin Hanya Kamu disukai ramai dan orang terus sokong lagu-lagu saya selepas ini.” katanya.
Dengan semangat dan bakat yang dimiliki, Aurelia Syaharani kini bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam industri muzik tanah air.