
Filem seram-thriller Thailand terbaharu, Attack 13, bakal menemui penonton Malaysia bermula 28 Ogos 2025, menyingkap sisi gelap buli di sekolah menengah yang dipintal dengan elemen mistik penuh mendebarkan.
Diarahkan oleh Taweewat Wantha, naskhah ini menampilkan lakonan Korranid Laosubinprasoet, Veerinsara Tangkitsuvanich dan Nichapalak Thongkham.
Filem ini menggunakan latar dunia bola tampar sekolah sebagai medium penceritaan, memperlihatkan bagaimana dendam seorang pelajar menjadi igauan ngeri buat rakan sepasukan.
Kisah bermula apabila Bussaba, kapten pasukan bola tampar yang terkenal dengan sikap keras dan suka membuli, ditemui mati tergantung di gelanggang. Namun, tragedi itu bukan pengakhiran sebaliknya permulaan kepada mimpi buruk apabila rohnya kembali menghantui sekolah.
Kehadiran pelajar baharu, Jindahra, yang mencabar kekejaman Bussaba, mencetuskan rentetan gangguan menakutkan. Pasukan pelajar terbabit berdepan detik cemas untuk merungkai misteri siapa yang memanggil roh dendam tersebut sebelum mereka turut menjadi mangsa.
Attack 13 diterbitkan oleh 13 Studio, syarikat produksi berpusat di Bangkok yang diasaskan Januari lalu dan diterajui Taweewat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Pengarah itu sebelum ini mencatat sejarah dengan Death Whisperer 2, filem Thailand dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman melebihi RM118 juta (850 juta baht).
Dengan sarikata Bahasa Melayu dan Inggeris, filem edaran TGV Pictures ini diyakini mampu menarik minat peminat seram rantau ini yang dahagakan naskhah baharu selepas kejayaan francais terkenal seperti Pee Nak.
Penonton boleh mendapatkan tiket menerusi laman rasmi www.tgv.com.my